Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menuduh UMNO menggunakan sentimen kaum dalam bentuk fitnah untuk menakut-nakutkan orang Melayu dan Islam yang kini dikatakan cenderung kepada Pakatan Harapan (PH).

Malah ujarnya, dakwaan mengarut pemimpin UMNO bahawa kononnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan menjadi calon Perdana Menteri jika PH menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanyalah fitnah yang tidak mempunyai asas sama sekali.

“UMNO-BN tidak dapat menandingi kemampuan PH, mereka menggunakan sentimen kaum dan agama demi mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalan mereka mentadbir negara,” katanya yang dipetik Roketkini.

Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebelum kini berkata Kit Siang perlu mengambil alih peranan Ketua Pembangkang daripada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi mengelak orang Melayu daripada terus terpedaya dengan muslihat politik Kit Siang dan DAP.

Katanya, Wanita UMNO melihat tindakan licik Lim memilih Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang hanya untuk meyakinkan orang Melayu bahawa pakatan pembangkang dikuasai pemimpin Melayu, sedangkan yang sebenarnya, ia dikuasai DAP dan pemimpin Melayu hanya dijadikan boneka politik mereka.

Shahrizat turut berkata kedudukan Wan Azizah selaku Ketua Pembangkang tidak dapat dirasai pada setiap persidangan Dewan Rakyat kerana sikap Presiden PKR itu yang sering diam menikus dalam menerajui barisan pembangkang.

Mengulas mengenai itu, Tengku Zulpuri berkata sebarang keputusan dalam PH dilakukan secara konsensus demi menjaga keharmonian kaum dan agama.

Malah DAP sudah sering kali mencerminkan bahawa jawatan Perdana Menteri hanya akan dilantik dalam kalangan orang Melayu dan Islam seperti dipersetujui setiap parti komponen gabungan pembangkang itu. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast