Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan Western Digital, Datuk Syed Hussain Syed Al Junid (kanan) sambil diiringi Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Suriani Ahmad (dua kanan) ketika membuat lawatan ke Western Digital di Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2017

PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiasat beberapa cawangan Jabatan Imigresen yang telah mengeluarkan kad penggajian (employment card atau dikenali e-card) kepada majikan yang menggaji pekerja asing tanpa mendaftar di bawah Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Rehiring.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata, kementerian itu telah mengesan aktiviti tersebut sejak Febuari lalu.

“Ada cawangan imigresen yang keluarkan kad itu tanpa PATI tersebut melalui program rehiring. Ini adalah salah. PATI yang telah mendapat e-card ini saya minta mereka datang ke pusat imigresen dan pulangkan semula e-card berkenaan.

“Majikan kena sertai program rehiring tersebut yang perlu di buat di imigresen untuk kita kenakan bayaran levi dan sebagainya. Kita sedang menyiasat cawangan tersebut dan pegawainya. Kita kesan sejak program rehiring dimulakan semula Febuari lalu dan sebab kenapa mereke keluarkan juga masih dalam siasatan,” kata Nur Jazlan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat kunjungan ke Western Digital Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, KDN juga katanya sudah mengarahkan pihak imigresen supaya tidak hanya sekadar mendenda majikan yang menggaji PATI tanpa melalui program tersebut, sebaliknya terus membawa kes ke mahkamah.

“Tetapi ia masih terpulang kepada timbalan pendakwa raya.

“Kita arahkan jangan kompaun (denda), terus dakwa majikan yang mengambil PATI ke mahkamah kerana kita mahu PATI di negara kita dikurangkan dan ‘dihalalkan’ melalui program rehiring,” katanya.

Program rehiring katanya, akan berakhir pada hujung tahun ini iaitu pada 31 Disember 2017.

Mana-mana majikan yang menggaji PATI tanpa melalui program rehiring adalah tertakluk kepada Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast