Noh Omar (dua dari kiri) melihat sampah yang tidak diambil oleh kontraktor pembersihan semasa melakukan lawatan ke rmah pangsa Desa Mentari, Petaling Jaya. foto IQBAL BASRI, 10 APRIL 2017.

PETALING JAYA – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan membuat ketetapan setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) mesti mempunyai Kelas Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau sedih melihat setiap PPR mempunyai kelas Tabika yang sempit dan tidak diselenggara dengan baik, sedangkan penghuninya ramai.

Kata beliau, kementeriannya akan menyediakan peruntukan baharu bagi menyediakan kelas Tabika di setiap PPR bagi memudahkan penduduk menghantar anak mereka belajar.

“Hari ini saya melawat PPR Desa Mentari. Saya meninjau di Blok 4 dan Blok 6. Saya sedih melihat kanak-kanak terhimpit dalam kelas yang sempit dan tidak dijaga dengan baik.

“Justeru, saya mengarahkan setiap PPR mesti mempunyai kelas Tabika yang luas, selesa dan boleh menempatkan ramai kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Blok 6, Desa Mentari di Jalan PSJ 6/6D di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Noh turut mendengar permasalahan dihadapi penduduk dan Jawatankuasa Penduduk Desa Menteri mengenai kegagalan lif berfungsi dengan baik, longkang tidak diselenggara dan balai polis yang tidak kemas.

Kata beliau, kementeriannya telah memperuntukan lebih RM1 juta untuk kerja memasang lif baharu di situ yang tendernya dijangka dibuka Mei ini dan siap dalam tempoh kira-kira 48 minggu.

“Kita sediakan lif baharu, buka baiki. Lif ini akan diawasi kamera litar tertutup (CCTV) dan setiap penduduk akan diberikan kad akses untuk menggunakan kemudahan ini.

“CCTV dan kad akses ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan penduduk dapat menjaga dan menggunakan kemudahan yang disediakan ini yang baik,” katanya.

Mengenai usaha yang diambil kerajaan negeri dalam menangani masalah ini, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya suka bercakap, tetapi tidak pandai bertindak.

Ujar beliau, menteri besar mendabik dada kerajaan negeri pimpinannya menjaga berbilion ringgit setiap tahun, tetapi masalah kecil yang dihadapi penduduk PPR pun tidak dapat diselesaikan.

“Negara berkebajikan hanya menjadi laungan mereka, sedangkan apa yang berlaku di bawah amat teruk serta menyedihkan,” katanya.

Noh turut memberitahu, sebelum dilantik sebagai menteri, beliau sering meninjau keadaan di Desa Menteri dan berjanji kepada dirinya sendiri untuk menyelesaikan masalah dihadapi penduduk sekiranya ada kuasa.

“Alhamdulillah, saya dilantik sebagai menteri oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan saya gunakan kesempatan ini untuk membantu penduduk di sini.

“Lebih mengejutkan pondok polis di sini pun tidak ada apa-apa. Saya masuk meninjau sebentar tadi, lantainya tidak bermozaic dan pendingin hawa pun tidak ada. Macam mana anggota polis hendak bekerja?” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast