Tengku Adnan Tengku Mansor menunjukkan kebolehannya bermain petanque pada majlis Perasmian Taman Pudu Ulu Fasa 2 dan Tinjauan Projek Gelanggang Petanque sempena Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 10 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang diminta jangan terus menipu rakyat dengan menggesa kerajaan membubarkan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jelas bahawa selain tuduhan pembangkang tidak berasas ia turut menunjukkan bahawa mereka tidak punya maklumat apa yang telah dilakukan kementeriannya terhadap masyarakat ibu kota selama ini.

“Wakil rakyat pembangkang adakan pertemuan (dengan rakyat) dan sebut maki hamun Kementerian Wilayah, dia maki hamun dan sebut kalau mereka berkuasa mereka akan tutup kementerian.

“Kita bandar pertama di Malaysia yang tukar semua lampu jalan kepada LED, kita selalu pastikan apa sahaja tempat kita akan hijaukan, jelas apa kita lakukan,” katanya selepas merasmikan Taman Pudu Ulu fasa dua hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menggesa Kerajaan Persekutuan membubarkan Kementerian Wilayah Persekutuan yang pada pandangannya mempunyai tugas bertindih dengan pihak berkuasa tempatan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Malah Lip Eng berkata, peruntukan sebanyak RM1.161 bilion untuk kementerian itu pada tahun ini boleh diagihkan atau dibelanjakan bagi membina rumah mampu milik pasangan muda dan keluarga berpendapatan rendah.

“Kementerian Wilayah Persekutuan sebenarnya telah dibubarkan sebelum ini oleh Barisan Nasional, dan hanya diberi nyawa sekali lagi pada zaman Tun Abdullah Badawi.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan adalah suatu pertindihan dan hanyalah suatu makhluk politik yang memberi faedah kepada pihak-pihak tertentu sahaja,” kata Lip Eng pada Januari lalu.

Gesaan itu disuarakan beliau selepas Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menutup 14 pejabat Tourism Malaysia seluruh negara bagi mengelakkan pertindihan tugas dengan pihak berkuasa pelancongan negeri.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Tengku Adnan berkata, pembangkang terlalu rakus berkata-kata tanpa menyelidik sumbangan kementeriannya terhadap masyarakat terutamanya warga kota.

“Saya rayu warga Cheras jangan jadi rakus macam wakil rakyat kamu,” katanya. -MalaysiaGazette