Hamzah Zainudin (dua dari kiri) bersama Henry Sum Agung (kiri); Jamil Salleh (kanan) dan Noor Zari Hamat (dua kanan) bergambar bersama replika Buku Kod Etika dan Tatakelakuan Warga SKM pada majlis pelancaran buku itu di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 10 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Peningkatan harga minyak mentah susulan tindakan Amerika Syarikat melancarkan peluru berpandu ke sebuah pangkalan udara di Syria bakal memberi kesan kepada harga pasaran tempatan.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan tidak menetapkan harga minyak sesuka hati, sebaliknya ia bergantung kepada harga pasaran.

“Sudah tentu (beri kesan) bila harga minyak dunia naik, maka seperti yang saya katakan sebelum ini.

“Apabila kita mengumumkan harga minyak, ia adalah sama dengan harga minyak pasaran dunia, bukan kita buat ikut suka hati.

“Maka kalau harga pasaran dunia meningkat, sudah tentu dalam negara kita harga minyak juga akan meningkat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Buku Kod Etika dan Tatakelakuan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agung; Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Noor Zari Hamat.

Beliau mengulas tindakan tentera Amerika Syarikat pada awal pagi Jumaat lalu yang melancarkan peluru berpandu ke atas sebuah pengkalan udara Syria dengan menjadikan jet pejuang negara itu, landasan kapal terbang dan stesen bahan api sebagai sasaran.

Ia adalah tindak balas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap serangan kejam gas beracub di Syria di mana Washington menyalahkan Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Tindakan Amerika itu menyebabkan niaga hadapan minyak mentah Brent melonjak kepada AS$55.60 setong menjelang 0146 GMT.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kenaikan harga bahan api itu tidak dapat dielakkan walaupun sistem Kadar Komponen Penetapan Harga Automatik (APM) stabil.

“Kebanyakan daripada syarikat dalam negara kita ini seperti Petronas, Shell dan BHP mereka menjual menjual ikut pasaran dunia.

“Kalau pasaran dunia naik, walaupun APM itu stabil, tapi harganya akhirnya juga naik,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan tidak membenarkan mana-mana syarikat minyak memberikan diskaun bahan api itu kepada pengguna tanpa memaklumkan kepada kerajaan terlebih dahulu.

Jelasnya, ia bagi mengelakkan pengguna tertipu jika promosi dilakukan tanpa menyatakan had dan kriteria pembelian.

“Jika satu stesen minyak kata hari ini dia nak beri diskaun, dia tak boleh kata semudah hari ini dia beri diskaun 2 sen kepada semua pengguna.

“Dia tak boleh buat macam itu, kerana dia kena beritahu kami apa jumlahnya, apa kuantiti yang akan diberikan diskaun.

“Ini supaya pengguna tidak berasa ditipu, bila dia pergi sana, pekedai kata minta maaf ini untuk pelanggan 1,000 pertama atau 1,000 liter pertama saja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast