Anggota penyiasat sedang menyiasat kawasan kemalangan belon panas di Cappadocia, Turki. foto ABC News

TURKI – Seorang pelancong Perancis maut dan tujuh lagi cedera apabila belon udara panas yang dinaiki terkena talian voltan tinggi lalu terhempas.

Kejadian itu berlaku di pusat bandar Turki dan terhempas berhampiran destinasi pelancongan popular, Cappadocia.

Kementerian Turki Pengangkutan berkata, kejadian itu berlaku ketika belon berkenaan membawa 20 orang penumpang termasuk enam rakyat asing.

Semasa kejadian kawasan itu dilanda angin.

“Seorang warga Perancis maut dan tujuh orang – empat daripadanya warga Turki dan tiga warga asing cedera,” kata satu kenyataan.

Pakar penerbangan awam Turki sedang menyiasat kemalangan itu.

Gabenor Nevsehir, Ilhami Aktas berkata, sebanyak 81 belon panas beroperasi semalam di Cappadocia.

Operasi belon panas telah digantung sehingga Rabu lalu disebabkan cuaca buruk tetapi disambung semula pada hari Sabtu dengan kebenaran pihak berkuasa penerbangan awam, menurut agensi berita Anadolu. – MalaysiaGazette