Datuk Ahmad Yakob
Ahmad Yakob

PUTRAJAYA – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, desakan yang dibuat Pemuda Pas agar menggantung lesen akhbar bahasa Cina, Nanyang Siang Pau kerana secara terbuka menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah satu tindakan yang wajar.

Malah katanya, perkara itu turut dimahukan Abdul Hadi yang menganggap perbuatan itu satu tindakan biadap terhadap Islam.

“Itu paling tepat (desak gantung lesen). Desakan (juga datang) dari Presiden sendiri sebab itu satu budaya yang biadap, budaya yang tak baik.

“Apapun kita buat teguran secara baik. Tapi dengan karikatur seperti itu beri gambaran tidak tepat dan tidak baik (kepada Islam),” katanya dalam satu acara di Putrajaya hari ini.

Awal hari ini Dewan Pemuda Pas Pusat (DPMM) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menggantung lesen akhbar Cina berkenaan selepas kontroversi penyiaran karikatur 8 April lalu.

Dalam karikatur itu, Nanyang Siang Pau telah menyamakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet yang lari meninggalkan sebuah pokok.

Karikatur yang disiarkan dalam versi cetak dan online bertajuk ‘Akta Monyet’ menunjukkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai ‘Speaker’ manakala seekor lagi memakai serban bertenggek di pokok ‘Akta 355’.

Ia diterbitkan dua hari selepas Abdul Hadi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 pada Khamis lalu.

Nanyang Siang Pau semalam memohon maaf ekoran penyiaran kartun monyet pakai serban yang disiarkan akhbar berkenaan pada 8 April lalu.

Menurut satu kenyataan, syarikat itu memohon maaf kepada Pandikar dan Abdul Hadi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast