KOTA BHARU – Sayap bukan Islam Pas, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan Dewan Pemuda Pas Kelantan hari ini membakar berpuluh-puluh naskhah akhbar Nanyang Siang Pau sebagai tanda bantahan terhadap penyiaran karikatur yang menghina presiden mereka.

Lebih 50 ahli kedua-dua dewan itu berhimpun di Tambatan Diraja di sini bagi membakar akhbar tersebut sebagai simbol tidak berpuas hati terhadap kebiadapan itu.

Perhimpunan itu diketuai oleh Naib Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd. Ariff Abdullah dan Timbalan Pengerusi DHPP Pusat, Lim Guan Seng.

Yang turut hadir Setiausaha DHPP Kelantan, R.Hareetaran.

Sementara itu, Mohd Ariff berkata, tindakan yang dilakukan oleh akhbar ini tidak dapat diterima sama sekali kerana menghina ulama.

“Ini bukan soal Presiden Pas tetapi soal ulama, mereka menghina ulama dengan gambaran yang amat menghinakan.

“Walaupun mereka telah mengeluarkan nota kecil meminta maaf tetapi ia tidak mencukupi kerana penghasilan imej itu adalah cubaan menanam sentimen membenci agama Islam,” katanya.

Akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau pada Sabtu lalu menimbulkan kegemparan masyarakat Islam apabila menyiarkan lakaran dua monyet yang merujuk kepada Abdul Hadi dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Karikatur yang disiarkan dalam versi cetak dan online bertajuk ‘Akta Monyet’ menunjukkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi memakai serban bertenggek di pokok ‘Akta 355’.

Dalam pada itu, Guan Seng berkata, tindakan itu hanya akan mencetuskan perasaan yang tidak berpuas hati masyarakat Islam di negara ini.

“Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum tambahan pula Islam adalah majoriti di negara ini.

“Tindakan itu akan hanya mencetuskan ketegangan di antara kaum dan agama di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast