Dr. Shamrahayu Abd. Aziz.

KUALA LUMPUR – Pembentangan Rang Undang Undang 355 (RUU355) disifatkan seperti sudah ada cahaya dihujung terowong dalam penambahbaikan mahkamah syariah di negara ini.

Itu pandangan Felo Utama, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz.

Beliau berkata demikian mengulas pembentangan RUU355 oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dicadangkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Saya fikir ada sesuatu perkara ada dibuat, RUU ini sudah sampai tahap yang agak positif..sudah ada cahaya di hujung terowong dan akan ada penambahbaikan,” ujarnya dalam temubual dengan IKIM.FM dalam Siri Polemik Akta 355 hari ini.

Menurut Shamrahayu, penangguhan perbahasan mengenai RUU355 memang dibawah kuasa Speaker Dewan Rakyat sepenuhnya namun apa pun ia sudah ada kemajuan.

Tidak boleh tidak, katanya, RUU355 itu tetap akan dibahaskan di Dewan Rakyat cuma masa dan kuasa speaker sahaja menentukannya.

Selepas itu, katanya, sekiranya diluluskan, ia menjadi hak kerajaan dan menteri di kementerian terlibat akan memperhalusinya dan memantapkannya sebelum dibaca semula buat kali kedua.

Menteri terbabit (Jabatan Perdana Menteri) boleh mengemaskinikannya termasuk mengadakan perbincangan dengan pakar dan Raja-Raja Melayu.

Selepas bacaan kali kedua dan diluluskan, RUU itu perlu dibaca di Dewan Negara pula.

“Ramai tidak tidur malam sebenarnya mengusahakan RUU ini kerana banyak perkara perlu difikirkan dan dalam 20 atau 10 tahun lagi kalau panjang umur kita akan lihat ia (undang-undang syariah) akan dimartabatkan dan insya Allah akan berlaku di Malaysia,” ujarnya.

Dalam tempoh proses itu nanti, Shamrahayu berharap kerajaan dalam masa yang sama meningkatkan taraf sumber manusia dan undang-undang berkaitan supaya ia seiring.

“Ini juga perjuangan perlu tabah baik peruntukan sedia ada bukan aspek hukuman sahaja,” katanya sambil berharap kerenah birokrasi juga dapat dikurangkan dalam menjadikann realiti,” katanya.

Orang ramai juga katanya perlu mengetahui proses yang panjang dalam mewartakan sesebuah RUU dan bukan hanya disulami dengan sentimen politik semata-mata.

Apa pun, Shamrahayu yang terlibat secara langsung dalam proses RUU355 sejak beberapa tahun lepas mengakui ia satu pengalaman beharga sebagai seorang ahli akademik.

“Usul ini beri pengalaman hebat kepada saya dalam penglibatan akademik, perlu tangani soal undang-undang, politik dan kefahaman awam yang perlu ada kreativiti kepada masyarakat Islam dan bukan Islam,” akuinya.

Beliau berharap pengalaman itu akan dapat membantu pemikir generasi muda pada masa akan datang berkenaan soal pembentukan undang-undang di negara ini.-MalaysiaGazette