Aishah

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aishah mengakui dia kecewa dengan parti Pas yang pernah disertainya dahulu dan kini menganggapnya hilang arah perjuangan.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, Pas kini tidak lagi ‘menghalakan’ tembakan ke arah musuh parti itu, Barisan Nasional seperti sebelum ini.

Malah Aishah mendedahkan, dia pernah digelar ‘biawak’ ketika menjadi Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan Dewan Muslimat di dalam Pas.

“Saya rasa macam masuk dalam zoo. Tiba-tiba kena panggil biawak, kena panggil anjing.

“Selama 30 tahun saya menyanyi dalam industri seni. Orang semua lihat anak seni sebagai orang-orang yang jahil. Saya tak pernah tengok ketua kami orang seni ‘membiawakkan’, ‘menganjingkan’ orang lain,” luah Aisyah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada satu program di Parit Buntar, Perak hujung minggu lalu apabila video ucappannya kini dimuat naik secara langsung di Facebook.

Kata penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu lagi, dia menyertai bidang politik kerana merasakan ada keperluan untuk berada dalam politik.

“Dari UMNO saya berhijrah (Pas).. mengharapkan berada di kalangan orang yang saya rasa mungkin lebih banyak ilmu untuk membimbing insan seni seperti saya.

“Kita semua ada keperluan untuk berada dan ambil tahu pasal politik,” katanya.

Aishah kini menyertai Parti Amanah Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast