KUALA LUMPUR – Isu berhubung Garis Panduan Manual Selangor dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor yang memperketatkan kelulusan tempat-tempat ibadat bukan Islam nampaknya menarik perhatian ramai pemimpin dari kaum India.

Antara yang menyuarakan pandangan adalah Ahli Parlimen Kapar, Manivannan Gowin yang mencadangkan pemindaan segera perlu dilakukan terhadap garis panduan tersebut selaras dengan dasar, inspirasi dan semangat yang termaktub dalam perjanjian Pakatan Harapan (PH).

“Kenyataan Exco kanan Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim merangkap Ahli Dewan Undangan Sungai Pinang (salah satu DUN di bawah Parlimen Kapar) yang memohon maaf dan mengakui kesilapan beliau adalah mencerminkan beliau seorang yang memegang amanah dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Manivannan, secara realiti kebanyakan pemimpin di negara ini tidak sanggup menghadapi risiko memohon maaf apabila melakukan kesilapan seperti yang dilakukan Chang Khim.

Sebaliknya, apa yang berlaku pelbagai percubaan dan pelbagai alasan diberikan semata-mata untuk menutup kesilapan yang dilakukan.

“Tingkah laku Chang Khim, yang memohon maaf dan mengakui melakukan kesilapan adalah satu tindakan yang patut dipuji. Tingkah laku sebegini sekian lama telah hilang dan pudar daripada kancah politik Malaysia.

“Justeru itu, saya amat berharap agar ramai lagi pimpinan membenihkan semangat memohon maaf dan mengakui kesilapan sekiranya kesilapan itu benar-benar merupakan satu kesilapan,” katanya.

Terdahulu, Chang Khim berkata, kesilapan dan peruntukan kontroversi dalam Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor edisi ke-3 berhubung peraturan membina rumah ibadat bukan Islam yang baharu akan dibuang.

Beliau pada awalnya meminta pegawai melakukan pindaan, sebaik sahaja menyedari wujud banyak kesilapan dan peraturan kontroversi sebelum edisi ke-3 itu diterbitkan pada 1 Januari lalu, tetapi pegawai terbabit tidak berbuat demikian menyebabkan masalah timbul.

Garis panduan edisi ke-3 itu adalah semakan kepada versi lama, bertujuan menjadikan peruntukan tidak jelas, lebih jelas dan hanya terpakai kepada rumah ibadat bukan Islam yang baharu.

Antara peruntukan bermasalah itu termasuk rumah ibadat bukan Islam tidak boleh dibina dalam kawasan komersial atau dalam jarak 50meter dari rumah umat Islam.

Pembinaan rumah ibadat bukan Islam dalam kawasan kediaman penduduk berbilang kaum perlu mendapat persetujuan penduduk yang tinggal dalam lingkungan 200m, selain rumah ibadat itu tidak boleh tinggi daripada masjid berdekatan. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast