CHICAGO – Ketua Pegawai Eksekutif United Airlines telah memohon maaf atas insiden ngeri yang menyaksikan seorang penumpang telah diheret keluar dari pesawat yang terlebih menerima tempahan.
Oscar Munoz berkata, insiden itu menganggunya selepas kejadian itu menjadi tular di laman Twitter sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Beliau berkata, syarikat itu berusaha menyelesaikan masalah itu agar tidak berulang pada masa depan.
Keluarga penumpang, David Dao, mengeluarkan kenyataan yang melahirkan ucapan terima kasih terhadap simpati orang ramai.
Dao sedang menjalani rawatan di sebuah hospital Chicago.
Rakaman diambil di dalam pesawat menunjukkan seorang lelaki ditarik keluar dari tempat duduk. Kelihatan wajahnya berdarah.
Insiden itu berlaku ketika United Airlines dalam penerbangan dari Chicago FSS ke Louisville, Kentucky, pada petang Ahad.
Disebabkan penerbangan itu telah terlebih menerima tempahan, empat penumpang diminta meninggalkan kerusi mereka bagi memberi tempat kepada empat kakitangan.
Tiga penumpang lain bersetuju meninggalkan pesawat tetapi Dao enggan berbuat demikian kerana beliau yang merupakan seorang doktor perlu merawat pesakit pada keesokan harinya.
Terdahulu Munoz mempertahankan tindakan pekerja dan berkata Dao telah menganggu tugas mereka menyebabkan syarikat penerbangan itu tidak ada pilihan kecuali memanggil pegawal keselamatan untuk mengeluarkan lelaki berkenaan.
Kenyataan Munoz itu dikritik hebat sehingga Sean Spicer, Setiausaha Akhbar White House menyifatkan ia menyukarkan.
Pegawal keselamatan yang mengheret Dao telah diminta cuti sementara siasatan dijalankan.
Munoz berkata, beliau akan menemui Dao untuk menyelesaikan isu tersebut. – MalaysiaGazette