Datuk Seri dan anaknya bergelar Datuk ditahan SPRM Pulau Pinang bagi membantu siasatan.

PULAU PINANG – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri dan anaknya yang bergelar Datuk direman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini pagi ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan anak syarikat Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad.

Perintah reman terhadap Datuk Seri berusia 74 tahun itu yang merupakan penasihat sebuah syarikat pemaju terkemuka yang disenarai di Bursa Malaysia serta anaknya yang berusia 47 tahun dikeluarkan Penolong Pendaftar, Mohamad Amin Shahul Hamid.

Dua beranak itu tiba di mahkamah tersebut kira-kira pukul 10.50 pagi ini dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.

Semalam, SPRM menahan kedua-dua mereka di negeri ini dan di Putrajaya kira-kira pukul 7 malam selepas hadir di pejabat suruhanjaya itu untuk memberi keterangan bagi membantu kes skandal tanah melibatkan yayasan tersebut.

Syarikat pemaju hartanah yang berpangkalan di Georgetown itu turut membangunkan beberapa hartanah di sekitar Pulau Pinang termasuk di Kepala Batas dan Tanjung Bungah.

Skandal tanah yang melibatkan pelupusan hartanah ratusan ekar tersebut rentetan hasil siasatan melibatkan seorang Datuk berusia 70 tahun yang ditahan SPRM pada 29 Mac lalu juga melibatkan yayasan tersebut.

Menurut sumber SPRM, Datuk berusia 70 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Katanya, suspek dipercayai menjual tanah milik anak syarikat yayasan berkenaan di negeri ini termasuk membuat keputusan sendiri tanpa melalui persetujuan ahli lembaga pengarah lain.

“Tindakan suspek dikatakan telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada anak syarikat milik yayasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu. Beliau juga dikatakan telah menjual tanah milik anak syarikat yayasan itu kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan pada harga lebih murah daripada asal.

“Suspek dikatakan turut mendapat habuan daripada syarikat yang membeli tanah itu dengan mendapat sekurang-kurangnya satu peratus daripada nilai tanah yang dijual,” katanya.

Bagaimanapun, Datuk berkenaan yang direman selama lima hari dibebaskan pada 3 April lalu dengan jaminan RM100,000 menerusi dua penjamin.- MalaysiaGazette