Yang Dipertua PERTAMA, Datuk As'ari Ibrahim (tiga kiri), Setiausahan Agong, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied (tiga kanan) antara yang hadir ketika majlis pelancaran Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017 di Hadramawt Palace, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan Presiden Pas bakal duduk semeja lagi dan kali ini dalam Program Haflah Zikir Perdana pada 30 Julai ini.

Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu juga akan menyampaikan ucapan masing-masing pada majlis anjuran Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) itu.

Program itu merupakan kemuncak Program Haflah Zikir Sedunia 2017, kata Setiausaha Agung PERTAMA, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaeid.

Menurutnya, pihaknya menjangka ia dapat mengumpulkan 30,000 umat Islam dalam program yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya itu.

Pelbagai program akan disediakan dalam program selama lima hari bermula 26 Julai ini.

“Acara tahunan anjuran PERTAMA tahun ini akan memfokuskan kebangkitan, kemakmuran dan keutuhan peradaban Islam dalam pembangunan insan yang menjadi teras kegemilangan masyarakat dan ekonomi mampan,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Antara pengisian lain adalah persidangan ulama antarabangsa, Simposium Tarekat Tasawuf Nusantara, Majlis Tafaqquh Fiddin, Festival Sama’ Antarabangsa, Pertandingan Marhaban Piala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Foodtruck Asnaf.

Sheikh Abdul Kareem menjelaskan bagi program simposium pihaknya telah menerima pengesahan penyertaan ulama dari 30 negara termasuk Afrika, Amerika, Syria, China dan Magribhi.

“Simposium itu nanti akan membincangkan tentang peradaban Islam dan manusia. Ini selaras dengan hasrat Transformasi Nasional 2050 di mana Perdana Menteri mahu Malaysia menjadi pusat peradaban Islam antarabangsa,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama, PERTAMA turut merasmikan tabung infak bagi membolehkan orang ramai menghulurkan bantuan.

Orang ramai yang berminat boleh berbuat demikian ke akaun Maybank, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia 564342615145.- MalaysiaGazette