KUALA LUMPUR – Anak sulung pelakon Norman Hakim akan melanjutkan pengajian hafazan di Turki pada tahun ini.

Mohamed Danish Hakim, 14, adalah antara 10 pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian di Mekke Kuran Kursu, Isparta.

Berita gembira itu dikongsi oleh Norman menerusi akaun Instagramnya dengan memuat naik foto surat tawaran yang diterima Danish.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 41, berkata, dia kini sedang mencari kekuatan untuk melepaskan anaknya jauh di perantauan.

Malah, beliau turut meminta pengikutnya berkongsi pengalaman dan kata-kata semangat yang mungkin berdepan dengan situasi sama dengannya.

“Dulu, saya pernah berasakan perasaan begini, ketika mula-mula Danish hendak masuk ke asrama dan sekarang, dia nak pergi jauh ke perantauan pula.

“Saya cuba mencari kekuatan dengan izin-Nya. Dalam masa sama, kalau ada kawan-kawan di sini (pengikut Instagram) pernah ada pengalaman sebegini, mohon beri saya kata-kata semangat dan motivasi,” ujarnya.

Status berkenaan membuatkan rata-rata pengikut akaun beliau mengucapkan tahniah dan gembira dengan perkongsian berita berkenaan.

Malah, peminatnya mendoakan agar Danish dapat menghabiskan pengajian hafazan dengan lancar dan sempurna. Selain Danish, Norman turut dianugerahkan dua lagi anak hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Abby Abadi, iaitu Marissa Dania Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim, 9.

Bersama isterinya sekarang, Memey Suhaiza, Norman mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 4 dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2. – Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast