KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah tampil membuat teguran terhadap dua individu yang telah mencetuskan kontroversi membabitkan agama Islam.

Teguran itu ditujukan kepada aktivis Siti Kassim dan seorang wanita Melayu, Azira Aziz yang telah mengutarakan cadangan supaya azan yang ingin dikumandangkan perlu mendapat kebenaran penduduk terlebih dahulu.

Pensyarah berkenaan, Dr. Syahr Musafir telah membuat tegurannya dengan menulis di Facebook sebagai respons terhadap tindakan dua wanita terbabit.

siti kassim

Berdasarkan catatannya itu, teguran Syahr terhadap Siti Kassim adalah berhubung isu penetapan agama sebagaimana yang pernah dibangkitkannya sebelum ini.

“Tiada paksaan dalam Islam.. maksudnya tiada mana-mana orang bukan Muslim atau kafir yang boleh dipaksa untuk menganut Islam.

“Mereka boleh pilih, nak masuk Islam atau nak kekal dengan agama asal. Sekuat mana pun kuasa kita, kita tidak boleh paksa.

“Namun, setelah menganuti Islam, tidak boleh suka-suka hati nak keluar daripada Islam, nak murtad tak tentu hala. Betullah apostasy is not applicable in Islam, not among Muslims.

“Ini ajaran Islam. Tertulis jelas. Tiba-tiba Siti Kasim meroyan tak tentu pasal mempersoalkan ni dah kenapa?,” tulisnya.

Posting itu turut menyentuh apa yang telah dipersoalkan oleh Azira berhubung azan hingga menjadi tular di Twitter dan netizen menganggapnya sebagai seorang Islam liberal.

“Seorang lagi ni buat hal jugak. Tak pasal-pasal mempersoalkan laungan azan oleh masjid dan surau perlu mendapat kebenaran penduduk. Kalau di negara yang tidak mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi atau agama majoriti, bolehlah nak letakkan peraturan sebegitu. Logiklah juga dari segi manusiawi.

“Malaysia ini negara Islam. Majoriti rakyatnya adalah Muslim. Orang bukan Islam di Malaysia ini tak pertikai hal ini, hang orang Islam pula kecoh-kecoh bagai ni apekehenyer?” katanya.

Syahr turut berkongsi pengalamannya tinggal di Australia selama lapan tahun dan laungan azan boleh didengari di merata tempat tanpa sebarang masalah.

Katanya, mereka yang mempersoalkan mengenai laungan azan ini adalah individu yang mahu menyesuaikan keadaan dengan nafsu duniawinya dan menggunakan ilmu agama mengikut kemahuan mereka.

“Inilah golongan liberal yang tak sudah-sudah nak menghancurkan Islam sedangkan mereka juga adalah orang Islam sendiri. Nak re-interpret Islam dengan cara menggunakan logik akal mentafsir al-Qur’an dan hadis, tanpa ada pengetahuan dan ilmu yang jelas tentang Islam.

“Inilah dua contoh muslim liberal yang makin mendapat nama, pengaruh dan tempat dalam masyarakat Muslim di Malaysia: Siti Kasim dan Azira Aziz. Main ikut sedap sahaja nak ‘buat agama baru’ dengan menafsirkan Islam dengan logik diri sendiri dan mengikut nafsu,” tulisnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast