Khairul Anuar Baharom hadir di ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia di Putrajaya semalam bagi membantu siasatan dakwaan rasuah bola sepak.

PUTRAJAYA – Bekas pemain kebangsaan, Khairul Anuar Baharum hari ini menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai ‘Ah Chong’ yang memakai baju berwarna putih tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 10.45 pagi tadi bersama peguamnya untuk memberi keterangan.

Beliau antara individu yang dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan membabitkan pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Ah Chong pernah bermain untuk pasukan Selangor dan Negeri Sembilan.

Khamis lalu, tiga pemain bola sepak MIFA termasuk seorang pemain import direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengambil rasuah daripada bookie.

Pada Jumaat, seorang bookie berusia 49 tahun direman selama enam hari berhubung kes berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM30,000 daripada bookie untuk menentukan keputusan perlawanan. – MalaysiaGazette