Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak (empat kanan) diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (lima kiri) dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tiga kanan) membuat gimik pelancaran Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) bersama kepimpinan tertinggi Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan pelantikan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas baru-baru ini adalah hasil perbincangan beliau dengan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sudah beberapa bulan beliau berbincang dan meminta pandangan Ahmad Zahid sebelum melantik sepupunya itu sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di samping portfolio sedia ada sebagai Menteri Pertahanan.

Justeru, beliau meminta semua pihak supaya tidak melaga-lagakan kedua pemimpin berkenaan.

“Jangan laga-lagakan mereka. Keputusan saya melantik Hisham adalah selepas perbincangan selama berbulan-bulan dengan Zahid.

“Mereka tiada masalah, tengok mereka duduk sebelah-menyebelah,” sambil menunjukkan kepada kedua-dua pemimpin UMNO tersebut.

Hishamuddin pula dengan spontan melentukkan kepala ke arah Ahmad Zahid tanda kemesraan sambil disambut dengan gelak oleh semua tetamu yang hadir termasuk Timbalan Presiden UMNO itu.

Semasa Najib mengumumkan pelantikan Hishamuddin pelbagai spekulasi mula timbul apatah lagi jawatan Menteri Tugas-Tugas Khas bukanlah satu jawatan yang biasa diwujudkan di negara ini.

Sebelum ini, hanya Tun Daim Zainuddin pernah memegang jawatan tersebut semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Antara pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang dan Rafizi Ramli menyifatkan pelantikan Hishamuddin itu. – MalaysiaGazette