Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat pembentangan pada 'INTAN Public Policy Ministerial Forum Series di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau memahami perasaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika ini apabila banyak pihak terutamanya pembangkang mempertikaikan pelantikan beliau selaku Menteri Tugas-tugas Khas.

Ujarnya, apa yang perlu dilakukan sekarang oleh rakannya itu adalah dengan memberikan sepenuh komitmen terhadap jawatan terbabit bagi melicinkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya juga pernah dipertikaikan jadi saya tidak ambil peduli tentang perkara itu.

“Saya jalankan tanggungjawab saya. Selagi saya tidak lakukan kesalahan kepada Allah dan undang-undang serta etika kerja jadi saya patuh, biar orang untuk bercakap,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Forum Menteri Dasar Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata, pelantikan Hishammuddin selaku Menteri Tugas-tugas Khas bersesuaian dengan Hishammuddin.

Malah yakin beliau akan dapat membantu perdana menteri dalam misi dan tugas khas bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan juga tugas tertentu yang akan membawa kepada kelicinan pentadbiran kerajaan.

Sebelum ini pelantikan Hishammuddin mendapat perhatian pihak pembangkang antaranya Parti Amanah Negara (PAN).

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub membuat provokasi apabila menyatakan pelantikan Hishamuddin membawa petanda perdana menteri akan berundur daripada jawatannya.

Menerusi kenyataan Salahuddin berkata, Hishammuddin akan mengambil alih jawatan ketua kerajaan itu bagi memastikan kesinambungan dan talian hayat UMNO dalam pilihan raya umum akan datang.

“Perlantikan Hishammuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas adalah isyarat Najib (Datuk Seri Najib Razak) akan berundur daripada jawatan PM dalam tempoh terdekat.

“Hishammuddin akan mengambil alih jawatan PM untuk memastikan kesinambungan dan talian hayat UMNO dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” kata Salahuddin.

Merujuk kepada itu, Zahid berkata pembangkang akan berkata apa sahaja terhadap dasar-dasar kerajaan namun memuji tidak sekali.

“Itu kerja dia (pembangkang kecam dan politikkan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin). Apa sahaja yang mereka puji dalam langkah kerajaan ini. Satu pun tidak jadi apa kita (kerajaan) nak herankan. Buat kerja sahaja.

“Kita perlu ikhlas bila satu tanggungjawab itu diberikan kepada kita dan laksanakan sepenuhnya.

“Bukan hanya untuk menjaga hati seorang dua sahaja. Kita mahu lihatlah kita yang terbaik di mata orang tapi sebenarnya kita tidak ikhlas. Ini bukan tuju kepada sesiapa,” kata Zahid.

Najib pada Rabu mengumumkan secara rasmi mengenai pelantikan itu dan bidang tugas Hishammuddin akan dibincangkan dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette.