Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail

SHAH ALAM – UMNO Selangor membariskan beberapa isu yang disifatkan sebagai menghina Islam oleh pemimpin DAP yang perlu disedari komponen Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangannya, Datuk Zein Isma Ismail berkata, penghinaan itu membuktikan pendirian sebenar DAP dan sikapnya berbaik dengan pemimpin beragama Islam dalam PH hanya sandiwara semata-mata.

Kata beliau, antara isu yang berbaur penghinaan terhadap Islam ialah tindakan DAP mempersoalkan kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagaimana kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari pada Jun 2015.

Begitu juga jelas Zein Isma, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pernah mempersoalkan kandungan khutbah Jumaat pada 1 Februari 2014 berkenaan perpecahan umat Islam disebabkan hasutan penganut Kristian dan Yahudi.

“Bukan itu saja, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utama, Tony Pua Kiam Wee juga turut mempersoalkan larangan ke aras umat Islam menyambut Hari Valentine. Kenyataan ini dikeluarkan pemimpin DAP ini pada 15 Februari 2014.

“Exco DAP Pulau Pinang, Chong Eng mempertikaikan kewajiban wanita Muslim menurut aurat pada Februari 2015,” katanya menerusi status yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya, semalam.

Menurut Zein Isma yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang Jaya, walaupun DAP lantang tidak sukakan Islam, tetapi pemimpin dari PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih menyanjung pemimpin parti itu.

Malah katanya, agak menyedihkan apabila ada pemimpin tertinggi dari PPBM sanggup merestui jawatan Perdana Menteri diberikan kepada DAP.

Kata Zein Isma, penentangan keras pemimpin DAP terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah di Parlimen baru-baru ini adalah kemuncak kebencian parti itu kepada Islam.

Turut dibariskan ialah Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw mempersoalkan keperluan melaungkan azan dan bacaan al-Quran melalui pembesar suara yang mengganggu bukan Islam.

Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok mempersoalkan kewajaran Exco Hal Ehwal Agama Selangor mengarahkan semua masjid di negeri itu mengadakan solat hajat memohon konsert Selena Gomez di Stadium Melawati, Shah Alam dibatalkan.

Ahli Jawatankuasa DAP, Damian Yeo Shen Li mempersoalkan sama ada dosa penganut umat Islam terhapus bila menjejakkan kaki ke Makkah.

“Semua ini adalah kenyataan dalam bentuk pertikaian dan persoalan yang jelas menghina Islam, tetapi masih disayangi oleh rakan komponen PH yang beragama Islam,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast