Ridzuan Abdullah

KAJANG – Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Ridzuan Abdullah mendakwa mempunyai maklumat berkaitan pegawai di Jabatan Imigresen yang bersekongkol dengan ejen menjual kad sementara atau ‘Enforcement Card’ (E-Kad) untuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, beliau menerima maklumat bahawa pegawai terbabit telah menyalahguna kedudukannya di dalam jabatan berkenaan apabila menjual E-Kad tersebut pada harga RM1,500 kepada PATI.

“Ejen-ejen terbabit sebelum ini hidup mewah tetapi setelah pendatang asing tidak boleh dibawa masuk dengan mudah mereka cuba mencari peluang untuk buat duit.

“Ada pegawai-pegawai dalam Imigresen yang bekerjasama dengan ejen atau orang tengah ini untuk jual E-Kad,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas melancarkan program Gerakan Rakyat Bangkit Tolak PATI di sini hari ini.

Menurut Ridzuan, beliau akan memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya jabatan kerajaan itu memerlukan maklumat berhubung perkara tersebut.

Tambah beliau, Ikhlas pernah berbuat demikian dengan SPRM sebelum ini dalam perkara-perkara lain sehingga mereka yang diadukan tertangkap dan telah menerima hukuman.

Dalam perkembangan sama, ketika ditanya bagaimana Ikhlas boleh memperoleh maklumat mengenai pegawai Imigresen itu, Ridzuan menegaskan, pegawai-pegawai di jabatan kerajaan yang tahu dan tidak bersekongkol dengan kerja-kerja seperti itu telah datang kepadanya mengadu agar dilakukan sesuatu.

“Hari ini mereka percaya kepada IKHLAS dan maklumat bagaimanapun akan sampai kepada kami.

“Kita mudah dapat maklumat sebab mereka tahu bagaimana cara kami bekerja,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast