Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui ada permintaan sekumpulan anak muda yang mahu penggunaan ganja sebagai perubatan alternatif dihalalkan di negara ini.

Cadangan tersebut dikemukakan dalam ruangan komen di laman-laman sosial berkenaan Transformasi Nasional 50 (TN50), katanya.

“Ya, ada tapi bukan ketika dialog TN50. Ada banyak permintaan dari kumpulan ini supaya (kerajaan) menghalalkan penggunaan medical marijuana.

“Mereka tulis dalam ruangan komen di laman-laman sosial kita,” katanya ketika ditanya semasa sidang media selepas  majlis dialog bersama pelajar di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman mengenai TN50 di sini petang tadi.

Bagaimanapun, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu tidak memperincikan sama ada kerajaan bersedia untuk mengambil sebarang tindakan berhubung cadangan tersebut.

Awal tahun lalu, Ahli Parlimen Belia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli mencadangkan supaya kerajaan mengkaji se­mula dan meminda status pengharaman ganja.

Cadangan tersebut kemudiannya disokong oleh Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail.

Sejurus kemudian, cadangan tersebut mendapat reaksi daripada Khairy melalui akaun Twitternya dan pengasas Pengasih, Datuk Mohd. Yunus Pathi.

Terdahulu, pada majlis yang sama, Khairy dalam rumusannya mahu kumpulan pelajar yang majoriti terdiri daripada kaum Cina itu mengekalkan identiti Bangsa Malaysia sebagai aspirasi utama dalam agenda TN50.- MalaysiaGazette