KUALA LUMPUR – Nama-nama yang terlibat dalam cuba menyogok pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) akan dibongkarkan tidak lama lagi.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata, nama-nama itu dikatakan terlibat merasuah pegawai FBI dan DOJ berkenaan isu siasatan 1MDB.
“Saya akan dedahkan nama-nama mereka apabila tiba masa yang sesuai nanti,” kata Ramesh dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 24 Mac lepas, beliau mendakwa pihak yang dirasuah itu memainkan peranan untuk mempengaruhi dua organisasi berkenaan sehingga kes saman sivil boleh diumumkan dan difailkan kepada 1MDB serta kononnya akan merampas beberapa aset-aset syarikat berkenaan.
Menurut beliau, ada maklumat diterimanya, DOJ telah ditipu dengan maklumat dan fakta yang palsu dengan niat untuk memberikan imej buruk kepada Malaysia.
Ramesh berkata sebelum ini, pihak berkuasa Switzerland telah awal-awal menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan suspek atau subjek siasatan pihak DOJ.
“Pihak pembangkang di Malaysia masih lagi menuduh Najib menyembunyikan fakta dan mengulangi persepsi bahawa sebearnya Najib yang terlibat,” katanya.
Pada awal-awal lagi, saman yang diumumkan oleh pihak DOJ nampak ada ‘lompang’ dan beberapa kelemahan.
Kini, katanya, siasatan itu sudah terhenti dan senyap begitu sahaja.
Pihak berkenaan juga tidak pernah menamakan Perdana Menteri sebagai defendan atau subjek siasatan mereka.
Ramesh berkata, pembangkang kemudiannya cepat mengambil kesempatan menggunakan saman itu untuk memburukkan kerajaan untuk mewujudkan persepsi buruk dan negatif kepada kerajaan.
Sogokan dikatakan hanya memerlukan FBI dan DOJ membuat pengumuman berkenaan untuk digunakan oleh pembangkang untuk merancang kerja jahat seterusnya.
“Saman itu tidak penting jika ia benar atau tidak kerana mereka hanya memerlukan pengumuman itu dan kemudian segala kerja jahat mewujudkan tuduhan-tuduhan bohong sudah dirancang oleh pembangkang ke atas 1MDB, kerajaan dan Najib,” ujar Ramesh lagi.-MalaysiaGazette