Syed Abd. Aziz Syed Kasim. foto FAREEZ FADZIL, 18 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Jahil mengurus kewangan, selain gagal mengenal pasti bentuk pinjaman dan skim pelaburan yang disertai antara faktor golongan muda muflis.

Perunding Kewangan, Syed Abd. Aziz Syed Kasim ketika mendedahkan perkara itu berkata, kadar muflis melibatkan anak muda juga berada dalam keadaan agak membimbangkan berikutan statistik menunjukkan jumlah meningkat setiap tahun.

Katanya, statistik menunjukkan pada tahun 2015 hampir 60,000 orang iaitu dengan kadar 156 individu diisytiharkan muflis setiap hari.

“Masalah kebankrapan di negara ini semakin serius. Daripada 156 individu sehari, 70 peratus adalah golongan muda berusia bawah 35 tahun, yang mana mereka didapati gagal menguruskan hutang.

“Bayangkan nasib golongan muda ini jika mereka gagal menguruskan hutang dengan berkesan. Mereka tidak dapat lagi menjalani kehidupan seperti biasa kerana dibelenggu dengan hutang dan nama sudah disenaraihitamkan dari sebarang pinjaman,” katanya ketika ditemui selepas Majlis MoU antara Perdasama dengan syarikat 7 Heaven Consultancy bagi Program Financial Treprenuer di sini, hari ini.

Perjanjian MoU itu ditandatangani antara Pengerusi Biro Pendidikan Perdasama Malaysia, Azmanizam Baharom dengan Syed Abd. Aziz sambil disaksikan Presiden Perdasama, Datuk Mohamad Izat Emir dan Naib Presiden 4 Perdasama, Datuk Sohaimi Shahadan.

Sementara itu, Sohaimi ketika ditemui berkata, melalui kerjasama itu, program Financial Treprenuer bakal menjelajah ke seluruh pusat pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) untuk memberi ilmu pengurusan kewangan kepada mahasiswa.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, program itu melibatkan penyertaan kira-kira 167,000 mahasiswa tahun akhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast