Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak pukul 10 pagi tadi telah mengakibatkan beberapa lokasi di sekitar Rawang, Selangor dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, sebanyak 65 buah rumah terjejas di Taman Tun Perak dekat sini selepas kawasan terbabit dinaiki air sehingga 0.3 meter.

Menurutnya, hujan lebat di kawasan perumahan itu menyebabkan paras air Sungai Pajam naik kepada 3.5 meter dan melimpah sehingga menyebabkan banjir.

“Kawasan kedua yang terbabit adalah di Jalan B27 berhampiran pusat beli belah AEON sehingga ke persimpangan Country Homes dekat sini apabila dinaiki air setinggi 0.5 meter.

“Hujan lebat serta pembinaan jambatan baharu berhampiran di Sungai Gong telah menyebabkan air tidak mengalir dengan sempurna sehingga meningkat ke paras 3.5 meter,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, empat keluarga yang terdiri daripada 20 orang dewasa, tujuh kanak-kanak dan seorang bayi di Kuang telah dibawa keluar dan ditempatkan di kawasan penempatan sementara ekoran rumah mereka dinaiki air setinggi 0.3 meter.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sani berkata, tiga gerai makan di tepi jalan dan kawasan sekitar bulatan Batu Arang, Kuang dekat sini turut terjejas teruk selepas air anak Sungai Air Hitam melimpah ke kawasan terbabit.

“Kita dapati anak sungai di sekitar Pejabat Pos Batu Arang tersumbat hingga menghalang aliran air dengan sempurna.

“Ditambah pula anak sungai yang melalui belakang Balai Bomba Batu Arang sehingga kilang kayu balak tidak diselenggara dengan baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.