PUTRAJAYA – Perkembangan terkini mengenai status kedutaan Malaysia di Korea Utara akan dimuktamadkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan di antara Najib dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
“Saya akan bincang perkara ini (kembalikan pekerja kedutaan Malaysia di Korea Utara) dengan Perdana Menteri dan Menteri Luar,” katanya di satu majlis di Putrajaya hari ini.
Status kedutaan Malaysia di Korea Utara masih menjadi tanda tanya apabila Duta Malaysia ke Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad dipanggil pulang kerana krisis antara Pyongyang dan Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia-Korea Utara kini dilihat semakin reda apabila sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik Kuala Lumpur-Pyongyang, selamat tiba di tanah air pada 31 Mac lalu.
Ketegangan antara dua negara itu tercetus susulan pembunuhan Kim Jong-nam, 46, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di sini pada 13 Februari.
Zahid sebelum ini berkata Malaysia tetap meneruskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Korea Utara dan tidak akan bertindak menutup kedutaan di negara itu. -MalaysiaGazette.