Presiden Parti Generasi Baru, Datuk G. Kumaar Aamaan (kanan) bercakap pada sidang media khas mengenai situasi terkini parti tersebut di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2017.
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Bebas Rasuah (PBR), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memberi amaran akan mengheret tiga individu yang memfitnah kepimpinan parti itu ke mahkamah.

Dalam satu kenyataan di sini, Khairuddin berkata, sidang akhbar oleh Datuk G. Kumar yang mendakwa dirinya presiden Parti Generasi Baru (PGB) semalam jelas telah memfitnah dan menjatuhkan kredibiliti beliau serta Datuk Mohd. Ezam Mohd. Noor.

Selain Kumar, sidang media itu dihadiri oleh Setiausaha Agung Sementara PGB, Mohamad Zaini Jaafar dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan.

“Pihak kami juga sedang berbincang dengan peguam parti untuk mengambil tindakan undang-undang keatas penyangak Huan Cheng Guan, Kumar Aaman, Mohamad Zaini Jaafar, serta beberapa pihak lagi yang terlibat memfitnah kami.

“Ketiga-tiga konspirator ini harus bersiap sedia untuk hadapi tindakan undang-undang dari kepimpinan parti kami. Puak ini secara sengaja dan jahat telah memfitnah serta cuba menjatuhkan kredibiliti kami,” katanya.

Dalam sidang media semalam, Kumar mendakwa beliau masih presiden PGB dan mendedahkan bahawa bekas setiausaha agung parti itu S. Gobi Krishnan telah bertindak sebagai mastermind mendalangi penukaran PGB kepada PBR di mana Ezam telah dilantik sebagai presiden.

Beliau seterusnya mendakwa penukaran pemilikan PGB itu berlaku tanpa pengetahuannya sebagai presiden kerana tiada sebarang mesyuarat atau notis dibuat selain tanpa persetujuan lebih 300 ahli.

Satu laporan polis telah dibuat kerana menurut Kumar, penukaran nama itu tidak mendapat persetujuan Pendaftar Pertubuhan selain objektifnya yang tersasar jauh iaitu menghentam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedangkan matlamat asal PGB adalah menyokong kerajaan Barisan Nasional. – MalaysiaGazette