Andi Lala dikawal ketat anggota polis ketika dibawa untuk perbicaraan di mahkamah.

JAKARTA – Suspek utama kes bunuh melibatkan lima sekeluarga di Medan Deli di Medan, Sumatera Utara di sini baru-baru ini mendakwa dia bertindak demikian disebabkan tidak diberikan syabu meskipun selepas membayarnya.

Laman portal Detik.com melaporkan, suspek yang dikenali sebagai Andi Lala mengaku membunuh Riyanto dan empat lagi mangsa kerana dendam.

Menurut laporan itu, Andi telah membayar sebanyak 5 juta rupiah (RM1,657) kepada Riyanto yang juga merupakan sepupunya bagi pembelian syabu namun mendakwa Riyanto tidak memberikan dadah tersebut kepadanya.

Suspek kemudian mendesak supaya mangsa memulangkan wang yang diberi, namun Riyanto tidak mengendahkan permintaannya.

Marah dengan sikap Riyanto, suspek mengajak dua rakannya, Roni dan Andi Sapurta untuk membunuh mangsa.

Ketika kejadian, Andi Lala membunuh Riyanto, isterinya, Sri Ariyanti serta Sumarni dengan memukul mangsa menggunakan besi sebanyak dua kali.

Roni pula membunuh kedua anak Riyanto, Naya dan Gilang, sementara seorang lagi suspek, Andi Saputra ditugaskan mengawal di depan rumah bagi memastikan keadaan.

Sebaik melakukan pembunuhan itu, suspek melarikan motosikal milik Riyanto dan menjualnya dengan harga 1.8 juta rupiah (RM596).

Menerusi siasatan polis, Andi turut mengaku pernah membunuh seorang lelaki dikenali sebagai Suherman yang didakwa teman lelaki isterinya pada tahun 2015.

Mayat dan motosikal mangsa dibuang ke dalam longkang, seolah menunjukkan mangsa meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan. – MalaysiaGazette