PETALING JAYA – Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Datuk M. Kayveas bersedia untuk melawan ‘orang sendiri’ jika MIC bertegas untuk bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands di Pahang.
Kayveas berkata, beliau telah mula aktif di kerusi Parlimen Cameron Highlands sejak dua tahun lalu sebagai persediaan untuk bertanding di situ.
Katanya, kenyataan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bahawa MIC akan bertanding di Cameron Highlands hanya akan mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN).
Kayveas berkata, kenyataan Subramaniam turut mengelirukan kerana kawasan Parlimen Cameron Highlands sudah menjadi ‘kerusi bebas’ sejak beberapa tahun lalu dan keadaan itu juga mendorong MyPPP aktif di situ.
Menurutnya lagi, MIC tidak boleh menuntut Cameron Highlands jika parti itu tidak mengiktiraf Datuk Seri G. Palanivel yang merupakan Ahli Parlimen kawasan itu sebagai ahli MIC.
“Bolehkah MIC menyatakan Cameron Highlands sebagai kawasan mereka jika Palanivel lompat ke parti komponen lain seperti MyPPP atau Gerakan.
“Saya pasti akan bertanding di Cameron Highlands. Jika MIC mahu bertanding juga, maka ini bermakna ia mahu mencabar saya,” katanya kepada Sinchew Daily.
Katanya lagi, pintu MyPPP adalah sentiasa terbuka buat Palanivel yang juga bekas Presiden MIC.
Kayveas dan partinya pernah terlibat dengan beberapa kemelut kawasan pilihan raya sebelum ini.
Parti komponen BN itu pernah berebut dengan Gerakan di kerusi Parlimen Taiping, Perak. Keadaan itu berakhir dengan calon MyPPP bertanding di kerusi Kepong di Kuala Lumpur yang merupakan kerusi tradisional Gerakan pada 2013.
Pada Pilihan Raya 2013 juga, MCA juga meminjamkan Kota Laksamana di Melaka untuk dipertandingkan calon MyPPP.
Kerusi Parlimen Kepong dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana masing-masing merupakan kubu kuat DAP dan gagal ditawan MyPPP.
MyPPP turut kecundang dalam DUN lain termasuk di Perak yang ditandinginya sehingga parti itu balik dengan tangan kosong dalam Pilihan Raya 2013. – MalaysiaGazette