BARCELONA – Perlawanan Liga Juara-Juara yang menyaksikan Real Madrid mengatasi Bayern Munich 4-2 pada aksi kedua suku akhir awal pagi tadi jelas mencetuskan kontroversi bukan sahaja di atas padang.
Sebaliknya, kontroversi itu bermula apabila Cristiano Ronaldo menjaringkan gol keduanya yang mencuri perhatian pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique.
Pique terus memuatnaik di laman sosial Twitter miliknya bersifat sinikal dengan tanda tiga titik yang menyindir gol tersebut dalam keadaan offside.
Kemenangan Real Madrid itu dibayangi dengan beberapa pengadilan lemah oleh Viktor Kassai.
Kassai telah melayangkan kad kuning kedua kepada Arturo Vidal, sedangkan pemain itu dengan jelas memenangi bola.
Kassai antara pengadil yang kerap membuat pengadilan lemah seperti insiden melibatkan Ukraine yang tersingkir dari Euro 2012.
Dalam perlawanan awal pagi tadi, penjaga garisan gagal mengesan offside yang sangat jelas untuk gol kedua Ronaldo.
Selepas tamat perlawanan, rakan pasukan Ronaldo, Sergio Ramos telah membalas balik sindiran Pique.
“Kenapa perlu dia tidak puas hati, kerana Barcelona pun pernah mendapat kelebihan daripada keputusan pengadil.”
“Ini bukan perkara baru, saya tak terkejut. Pique harus menonton semula perlawanan ulangan Barcelona menentang PSG tempoh hari.”
“Adakah Pique akan merumuskan perkara yang sama tentang pengadil dalam perlawanan itu?”
“Buat masa ini, sama-sama kita menunggu perlawanan Barcelona dan Juventus. Kami sudah lulus ujian kami kali ini. Kita tunggu pula yang lain,” katanya.
Selain daripada Ronaldo yang menjaringkan 100 gol dalam Liga Juara-Juara, Ramos turut meraikan aksi ke-100 dalam kejohanan itu. – MalaysiaGazette