KUALA LUMPUR – Program realiti popular TV3, Mentor Milenia 2017 yang bersiaran secara langsung pada pukul 9.00 malam pada Ahad lalu berjaya mencecah 3.15 juta penonton.

Stesen televisyen swasta popular itu dalam salam satu kenyataan berkata, sumber jumlah penonton itu disahkan oleh Nielsen Audience Measurement.

Mentor Milenia tahun ini menampilkan formula mentor popular seperti Tomok, Black, Hazama dan Akim yang berjaya mencetus fenomena dan menarik perhatian penonton untuk terpaku di depan kaca televisyen dan menyokong lima protégé yang masih bertanding.

Menurut Zurina Othman, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan, TV3 & TV9, bukan mudah bagi sebuah program realiti untuk mencecah rating setinggi ini kerana mempunyai saingan daripada saluran televisyen lain.

“Sejujurnya, kami sangat berbangga dengan pencapaian Mentor Milenia 2017 yang berjaya mengangkat kebolehan dan bakat barisan protégé ke mata penonton

“Selain itu, kami juga kagum dengan kemampuan keempat-empat mentor yang berbakat dan kreatif ini terutamanya dalam pemilihan protégé-protégé mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Kesungguhan yang ditunjukkan oleh kedua-dua belah pihak mentor dan protege pasti melahirkan insan seni yang dapat melakar nama di persada dunia seni. Terima kasih juga kepada para penonton setia Mentor Milenia 2017 dan terus bersama kami hingga ke peringkat akhir yang bakal diadakan pada 7 Mei ini,” ujarnya lagi.

Konsert battle kelapan yang juga merupakan battle suku akhir sebelum memasuki peringkat separuh akhir bakal berlangsung Ahad ini.

Bagi menghangatkan lagi suasana pada minggu ini, Mentor Milenia 2017 akan menjemput seorang penyanyi yang kian melonjak nama dan popular iaitu Sufian Suhaimi. Beliau akan menghiburkan penonton dengan dua buah lagu popularnya iaitu ‘Harus Aku’ dan ‘Terakhir’.

Lebih menarik lagi, battle minggu ini turut menampilkan penyanyi tersohor Yasin Sulaiman sebagai juri jemputan.

Seperti minggu-minggu sebelum ini, keputusan persembahan para protégé terletak kepada jumlah markah daripada juri tetap dan juri jemputan sebanyak 50 peratus, undian penonton menerusi laman web rasmi Mentor Milenia sebanyak 30 peratus dan 20 peratus daripada juri awam di studio.

Mentor Milenia 2017 yang dihoskan oleh Issey Fazlisham dan Marsha Milan Londoh dibawakan khas oleh Neffos, Telefon Pintar Generasi Milenia selaku penaja utama manakala tonton sebagai Geng Digital, Harian Metro dan ZIP sebagai Geng Media dan Hot FM sebagai Geng Radio.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my/mentormilenia dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dengan menggunakan hashtag #MentorMilenia2017 untuk menghangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman media sosial.

Para penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui strim secara langsung definisi tinggi di www.tonton.com.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast