KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna agar tidak mudah terpedaya dengan helah individu atau pihak ketiga yang mendekati pengguna secara terus bagi sebarang tujuan pembayaran bil elektrik.
Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pengguna), Bahagian Pembahagian TNB, Ir. Kamaliah Abdul Kadir berkata, TNB tidak pernah melantik ejen persendirian untuk menghubungi atau mendekati pengguna bagi urusan pembayaran bil.
“Masih ada pengguna yang mudah terpengaruh dengan taktik pihak ini.
“Kami ada menerima aduan pengguna yang tertipu dengan tawaran diskaun bil sehingga 45 peratus. Kami tidak menawarkan diskaun untuk bil tertunggak.”
Sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan pelanggan, TNB menyediakan pelbagai saluran pembayaran bagi memudahkan pengguna, katanya.
Pengguna boleh menjelaskan bil elektrik mereka di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan TNB, perkhidmatan Online, serta di institusi kewangan, jabatan/agensi kerajaan dan syarikat pihak ketiga yang menjalan operasi kutipan bil dari lain-lain utiliti dan pembekal perkhidmatan.
Ir. Kamaliah memaklumkan, bagi sesetengah pengguna yang mempunyai tunggakan bil elektrik setelah tamat tempoh kredit, mereka akan dihubungi ejen kutipan bil TNB.
Namun, pengguna tidak akan diminta membuat bayaran terus kepada ejen berkenaan.
Menurut Ir. Kamaliah, ejen kutipan bil elektrik TNB yang sah hanya menerima pembayaran dalam bentuk:
Tunai (kaunter pembayaran, kiosk layan diri dan mesin deposit tunai), debit terus kad kredit
iDebit terus, akaun simpanan dan akaun semasa.
Ejen Kutipan TNB juga tidak menerima sebarang pembayaran melalui cek/draf bank.
Layari laman web http://www.tnb.com.my untuk mengetahui senarai saluran pembayaran bil elektrik TNB. – MalaysiaGazette