Iskandar bersalam dengan penduduk PPR Lembah Subang 1 dalam dialog dengan menteri besar, semalam.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mendakwa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak serius untuk mengambil alih Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad mendakwa, sehingga kini KPKT masih berdiam diri dengan syarat ditetapkan kerajaan negeri.

Kata beliau, syarat itu ialah Kerajaan Persekutuan perlu membayar sejumlah RM60.6 juta yang telah dibelanjakan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak mengambil alih PPR itu pada tahun 2001.

“Walaupun ada banyak pengumuman dari Kerajaan Persekutuan hendak mengambil alih PPR Lembah Subang 1, sehingga hari ini mereka belum bersetuju dengan syarat yang kerajaan negeri kenakan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan dialog dengan penduduk PPR Lembah Subang 1 di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah.

Turut hadir, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain; Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Radzlan Jalaludin.

Menurut Iskandar, dalam dialog itu, menteri besar memberitahu penduduk, MBPJ akan kembali melakukan pembersihan bangunan itu memandangkan Kerajaan Persekutuan belum tentu akan mengambil alih PPR berkenaan.

Di akhir dialog itu, katanya, satu persetujuan telah dicapai antara kerajaan negeri dengan penduduk agar perlu ada kerjasama antara mereka demi kebaikan bersama.

“Kita mengenakan syarat, penduduk perlu memastikan segala tanggungjawab mereka seperti membayar sewa mengikut jadual, selain kerajaan negeri membentuk satu jawatankuasa khas dianggotai Penyelaras DUN, Ahli Majlis dan pegawai MBPJ untuk memantau.

“Mereka yang mewakili kerajaan negeri ini akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan penduduk bagi mengenalpasti sebarang masalah sebelum menjadi kritikal,” katanya.

Sebelum ini, penduduk tertanya-tanya masa depan PPR Lembah Subang 1 yang menjadi tempat tinggal kekal mereka apabila pada 1 Januari lalu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mengumumkan akan mengambil alih.

Bagaimanapun, dakwa Iskandar, keadaaan menjadi kelam kabut apabila Kerajaan Persekutuan membuka pejabat di PPR itu tanpa mendapat persetujuan dari kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast