KUALA LUMPUR – Pemberian hadiah berupa objek mistik dipercayai jenglot kepada Mufti Perlis oleh pihak-pihak tertentu tidak sepatutnya berlaku, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
Namun, jika perkara itu benar katanya, ia harus diselidiki. Sebenarnya saya pun tidak tahu mengenai perkara ini. Kalau itu benar-benar berlaku sepertimana yang dilapor di media sosial ia adalah sesuatu yang amat-amat dirasakan tidak sepatutnya berlaku. Saya harap berita ini tak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkara itu dalam sidang media pada Majlis Mesra Kerajaan Negeri Perlis bersama Naza sempena Perlis Marathon 2017 di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Azlan yakin jika Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menerima objek tersebut ia mungkin diberi untuk tujuan dibuat kajian.
Beliau turut menolak kemungkinan objek itu diberi untuk tujuan yang tidak baik.
“Saya lebih mempercayai ia mahu dibuat kajian dan sebagainya.
“Kalau untuk tujuan yang buruk ia tidak diberikan secara berdepan seperti itu,” ujarnya.
Mohd. Asri kembali menjadi tumpuan netizen apabila memuat naik status di Facebook rasminya memberitahu beliau menerima objek mistik berbentuk anak patung kecil bertaring dan berambut panjang dipercayai jenglot.
Objek tersebut yang dikaitkan dengan ilmu hitam diterima Mohd. Asri beberapa hari lalu.
Mohd. Asri turut menyatakan mengenai makhluk berkenaan yang mempunyai pelbagai cerita aneh selain mengaitkannya dengan perkara-perkara melibatkan sihir. – MalaysiaGazette