Lokasi kejadian seorang lelaki nyaris maut ditembak jarak dekat di Jalan Satu Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang malam tadi.

PULAU PINANG – Seorang lelaki terlepas daripada maut walaupun beberapa das tembakan dilepaskan ke arahnya dalam kejadian di Jalan Satu Air Itam, Georgetown di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam tadi, lelaki India berusia 50 tahun itu sedang mencuci halaman rumah teresnya sebelum seorang penunggang motosikal berhenti di hadapan rumahnya dan melepaskan beberapa das tembakan.

Bagaimanapun, tembakan yang dilepaskan suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh itu tersasar dan mangsa yang juga penjaga sebuah kuil di sini sempat melarikan diri ke dalam rumah sebelum menghubungi polis.

Dalam pada itu, menurut saksi yang juga jiran mangsa, lelaki berkenaan pernah memberitahu rumahnya beberapa kali diintip seorang lelaki yang mencurigakan sejak dua minggu lalu.

Ketika kejadian katanya, dia bersama dua adik perempuannya mendengar tiga letupan kuat yang disangka mercun memandangkan terdapat majlis perkahwinan di kuil berdekatan.

“Ini merupakan kejadian pertama berlaku di kawasan kejiranan ini dan sebab itu kami tidak begitu mengendahkan kelibat lelaki misteri yang mengintip rumah mangsa sebelum ini,” katanya yang enggan dikenali.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid mengesahkan kejadian itu dan menjelaskan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut beliau, ketika kejadian tiga anak mangsa turut berada di dalam rumah dan kesemua mereka terselamat.

Ujar beliau, siasatan awal mendapat mangsa pernah berselisih faham dengan individu dikenali sebelum ini dan pihaknya turut menyiasat berhubung perkara tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.- MalaysiaGazette