Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Sistem kuota yang dikhususkan untuk masyarakat bumiputera termasuk kaum Melayu di negara ini bukan satu penghinaan.

Sebaliknya, sistem itu adalah hak seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak perlu dipertikaikan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sebagai ‘tuan’ di negara sendiri, bumiputera khususnya Melayu berhak menikmati kesitimewaan itu sepanjang zaman, meski pun sudah berjaya merapatkan jurang antara kaum di negara ini.

“Hari ini Bumiputera Melayu masih lagi ketinggalan walaupun tidak dinafikan jutawan bumiputera Melayu sudah bertambah.

“Tetapi jika diukur dari segi komposisi kaum, kita masih lagi tertinggal dan belum mencapai 30 peratus,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilaporkan berkata, orang Melayu perlu melihat sistem kuota sebagai ‘penghinaan”.

Berucap dalam wacana bersama anak muda India Malaysia mengenai Pelan Tranformasi Nasional 2050 (TN50) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu, Khairy menjelaskan; “Saya mahu supaya satu hari nanti, masyarakat Melayu boleh kata kita masuk universiti bukan pasal kuota”.

Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu turut dibidas Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ruhanie Ahmad yang memintanya menjelaskan lebih lanjut maksud ‘penghinaan’ bagi bumiputera Melayu.

Ruhanie Ahmad
Ruhanie Ahmad

Mengulas lanjut, Sohaimi berpendapat, tidak ada masalah kepada bangsa lain berhubung sistem pendidikan di universiti awam kerana negara ini mempunyai banyak pusat pengajian tinggi swasta.

“Saya kira sistem kuota yang wujud kini tidak mempunyai masalah dan tidak menghina mana-mana kaum.

“Malah kebijaksanaan kerajaan pemerintah juga berjaya mewujudkan pengimbangan dalam perkara ini.

“Saya amat khuatir penghapusan sistem kuota akan membawa kegusaran kerana dari segi sosio ekonominya berdasarkan komposisi kaum kita masih belum seimbang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette