Mohammad Agus

KOTA BHARU – UMNO mempunyai kelebihan untuk menang di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 walaupun rakyat marah dengan isu kos sara hidup terutama kenaikan harga minyak.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, ada tiga faktor UMNO mempunyai kelebihan untuk menang dalam konteks negeri Kelantan.

Beliau berkata, faktor pertama ialah kegagalan kerajaan Pas mengatasi masalah rakyat dan membangunkan Kelantan menyebabkan rakyat mahukan perubahan kerajaan.

“Kedua pemimpin tempatan UMNO lebih peka denga masalah dan isu rakyat. Terakhir, parti dan kewangan UMNO lebih kukuh untuk memujuk rakyat dalam kempen pilihan raya,” katanya dalam posting facebooknya di sini hari ini.

Mohammad Agus berkata, dengan mengambil kira perpecahan UMNO dan Pas sehingga lahirnya PPBM dan PAN, jika berlaku pertandingan tiga penjuru, data yang ada menunjukkan UMNO lebih mempunyai kelebihan.

Katanya, biar pun UMNO masih sepi dengan kegiatan ceramah tetapi mempunyai banyak program berfokus serta mempunyai penyokong tegar dan jentera akar umbi yang kuat.

“Saya harus akui Pas mempunyai sokongan akar umbi yang teguh. Penyokong tegarnya kekal dengan Pas atas alasan Pas adalah parti agama.

“Begitu pun, saya dapati ceramah Pas sudah semakin kurang diminati kerana penceramahnya tidak mampu memberikan gagasan baru untuk memerintah Kelantan ke depan,” katanya.

Tambahnya, pengundi luar pada pilihan raya umum kali ini juga dijangka akan membuat perubahan berbanding sebelum ini yang menyebelahi Pas.

“Bagi anak Kelantan yang tinggal di Lembah Klang pula, mereka pengundi rasional yang memerhati kepada calon dan isu.

“Penyokong tegar setiap parti sekitar 20 peratus sahaja menjadikan 40 peratus pengundi luar Kelantan ini adalah pengundi atas pagar,” katanya.

Dalam masa sama katanya, dua parti serpihan iaitu PPBM dan PAN menghadapi masalah kepemimpinan yang tidak mampu untuk meyakinkan rakyat biarpun semakin mendapat tempat dalam kalangan pengundi muda yang berusia 21 tahun sehingga 40 tahun.

“Kedua-dua parti ini agresif mengadakan ceramah tetapi penceramahnya orang yang sama dan hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja,” katanya.- MalaysiaGazette