Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga kiri) memotong reben sebagai simbolik perasmian Karnival Ceria dan Sukan Komuniti Jom Bantu Rakyat di Padang Perumahan Awam Seri Johor, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menegur Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung puisi ‘Penyembah Lembu’ agar menghormati agama lain.

Memetik frasa daripada ayat suci al-Quran, beliau berkata, kepelbagai agama dan cara penyembahan mereka tidak perlu disentuh kerana ia adalah kepercayaan masing-masing.

“Janganlah, kita negara yang berbilang kaum dan agama. Ingat kepada ayat Al-Quran yang mengatakan agama kamu, agama kamulah, agama aku, agama akulah,” kata Tengku Adnan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Perasmian Karnival Ceria dan Sukan Komiti Jom Bantu Rakyat di Padang Perumahan Awam Seri Johor, Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lalu Dr Mohd Asri memuat naik status berupa puisi yang menyebabkan kemarahan beberapa pihak.

Dalam tulisannya itu mufti yang juga dikenali dengan panggilan Dr Maza itu menyentuh mengenai ‘penyembah lembu’ yang menyebabkan kemarahan penganut Hindu.

Ekoran kenyataan Dr. Mohd Asri itu juga kira-kira 40 wakil NGO dan aktivis membuat laporan polis terhadap beliau.

Bagaimanapun Dr Mohd Asri menjelaskan puisi ‘penyembah lembu’ yang dihasilkannya merujuk kepada acara yang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan Modi di India, sama sekali bukan untuk menghina penganut agama Hindu di negara ini.

Ungkapan ‘mempertuhankan lembu’ dalam puisi tersebut memperkatakan tentang kerajaan di India yang membiarkan Muslim saban hari dibunuh dengan kejam hanya kerana makan daging lembu.

Katanya, suasana itu seakan sengaja diwujudkan oleh kerajaan Modi atas dasar kesucian haiwan itu mengikut agama Hindu.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan turut menyokong kenyataan yang dibuat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berhubung kuota yang diperuntukkan kepada Bumiutera sebanyak 30 peratus.

“Saya pun bersama dengan Khairy, kenapa 30 peratus? Kalau ikut demografi kaum Melayu adalah 50 hingga 60 peratus bumiputera, tetapi banyak yang tidak sedar kita amalkan konsep moderate, ini kena beri faham kepada anak muda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast