BANGKOK – Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menandatangani kontrak bersama seorang instruktor Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari Malaysia, Lim Kim Chon.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada program untuk memastikan impian negara Gajah Putih melangkah ke Piala Dunia 2026 direalisasikan.
Kim Chon telah dilantik oleh FAT dalam pelan badan bola sepak Thailand bagi merevolusikan bola sepak negara tersebut.
Sebelum ini, FAT telah membawa masuk kepakaran luar untuk meningkatkan kemahiran teknikal pemain Thailand dengan mengambil empat bekas jurulatih dari kelab gergasi Sepanyol, Barcelona bagi setiap pasukan bawah umur negara itu.
Laporan laman sesawang FAT menyatakan Kim Chon akan mengambil alih kesemua modul kursus kejurulatihan yang dikendalikan badan induk bola sepak Thailand itu.
Ini termasuk modul jurulatih yang berkelayakan di Thailand untuk memperolehi Sijil Kursus Kejurulatihan Konfiderasi Bola Sepak Asia (AFC) ‘C’ dan FC Pro- Diploma Coaching Course.
Kim Chon yang memiliki pengalaman sebagai Pengarah Teknikal di
AFC berkata cabaran utama nya untuk membantu Thailand melahirkan jurulatih yang berilmu pengetahuan di dalam bidang kejurulatihan.
Dia juga dipetik sebagai berkata sasaran sekarang adalah untuk meningkatkan ilmu kejurulatihan dan berharap untuk melihat hasilnya selepas dua tahun.
Impian Kim Chon juga untuk melihat jurulatih daripada Thailand berkhidmat dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan di negara serantau hasil daripada programnya.
Dalam pada itu, Kim Chon, 62, bukanlah watak yang asing dalam bidang pembangunan bola sepak di tempatan.
Beliau adalah seorang individu yang kaya dengan pengalaman kejurulatihan di peringkat akar umbi sehinggalah ke badan bola sepak dunia.
Pada Piala Dunia 2006, Lim Kim Chon adalah antara individu yang dilantik sebagai ahli kumpulan teknikal FIFA untuk berkhidmat dalam bahagian kaji selidik.
Di Malaysia, Kim Chon adalah individu yang menyelaras program Mykids Soccer di seluruh negara.
Beliau juga pernah menganggotai satu jawatankuasa khas di bawah Datuk Razali Ibrahim (Timbalan Menteri Belia dan Sukan ketika itu) untuk memantau pelbagai program peringkat pembangunan di Malaysia.
Setelah itu, Kim Chon bersama-sama dengan adik beliau, Lim Teong Kim memilih untuk menyertai Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Beliau kemudiannya menyertai FIFA sebagai instruktor. – MalaysiaGazette