KUALA LUMPUR – Zairil Khir Johari dan Dyana Sofya Mohd Daud didesak supaya menjelaskan status hubungan mereka berdua selepas berulangkali terpalit dengan kontroversi hubungan sulit, terbaharu tular foto kemesraan kedua-dua mereka dalam media sosial.
Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata, rakyat mahu tahu status sebenar kedua-dua pemimpin Melayu dalam DAP tersebut dan mereka sewajarnya tampil buat penjelasan secara terbuka bukan tertutup yang dicadangkan oleh pimpinan tertinggi parti itu.
“Saya rasa (kena bezakan) urusan peribadi dengan urusan kepentingan awam. Walaupun mereka kata itu urusan peribadi atau keluarga, rakyat mahu tahu.
“Sebab sebagai ketua, kamu kena melangkaui isu-isu moral sebegini,” kata Jahara.
Beliau berkata, mereka berdua perlu membersihkan nama dengan berterus terang kepada rakyat dan bukan menunding jari kepada pihak lain.
”Jadi sebagai pemimpin yang disokong oleh rakyat, beliau kena sentiasa membersihkan nama (DAP) kalau terpalit.
“Kita kena nampak bersih, bukan saja kita kata kita bersih kita bermoral, tapi kita kena nampak bersih dan bermoral,” katanya.
Minggu lalu, Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dan bekas calon Teluk Intan, Dyana sekali lagi dihambat kontroversi apabila tersebar secara meluas beberapa keping gambar seorang lelaki dan wanita mirip mereka, dalam keadaan mesra.
Zairil menafikan ada kaitan dengan gambar tersebut dan menyifatkan ia serangan peribadi, namun Dyana hanya berdiam diri berhubung isu tersebut.
Zairil juga dilihat terus mempertahankan dengan menjelaskan yang isterinya faham dengan situasi politik hari ini yang sering menyerangnya, sekali gus membidas beberapa dakwaan yang menyatakan isterinya yang mendedahkan gambar tersebut di laman sosial.
Ini bukan kali pertama Zairil dan Dyana terpalit dengan dakwaan sebegini.
Sebelum itu, mereka juga dikaitkan dengan gambar mesra seorang lelaki dan wanita dalam sebuah kereta selain dikaitkan dengan rakaman video sepasang kekasih sedang menari di sebuah kelab, yang tidak dinyatakan lokasinya. – MalaysiaGazette