Zed Zaidi

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) berhasrat mengambil tindakan terhadap pengacara Ammar Titan di atas keterlanjurannya mempersendakan nama bapa Watson Nyambek.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, pihaknya akan menyiasat perkara tersebut dan tindakan disiplin akan diambil sekiranya Ammar merupakan ahli persatuan itu.

“Saya telah mengarahkan pengerusi biro dari persatuan SENIMAN supaya menyiasat perkara ini.

“Sekirannya anda (Ammar) ahli SENIMAN hukuman dan tindakan disiplin akan menyusuli, segalanya akan bergantung kepada siasatan nanti,” katanya seperti dilapor sebuah laman portal.

Menurut Zed lagi, Ammar telah melakukan sesuatu yang tidak profesional terhadap seorang yang banyak berjasa kepada negara.

“Saya percaya pengacara tersebut juga akan terasa apabila nama bapanya dipermainkan atau dihina apatah lagi bila orang tuanya itu sudah tiada, apakah perasaan anda ketika itu?

“Anda juga memperlekehkan nama bapa perlumba negara dengan bunyikan suara haiwan dan dari sudut persepsi masyarakat anda menyamakan bapa pelumba tersebut sebagai seekor haiwan,” ujarnya.

Tambah beliau, permohonan maaf yang dilakukan oleh stesen televisyen dan pengacara itu sendiri tidak cukup untuk membetulkan imej Watson.

Semalam, Watson meluahkan rasa kecewa serta berang selepas menonton sebuah rancangan televosyen swasta di sebuah hotel apabila seorang pengacara lelaki mengejek nama mendiang bapanya yang juga bekas anggota polis dengan bunyi binatang.

Luahan Watson mendapat reaksi serta perkongsian ratusan netizen yang mahu Watson menyaman stesen televisyen berkenaan serta mengutuk tindakan rancangan tersebut yang menghina bapanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast