Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)

ALOR SETAR – “Saya ingat bunyi bahan sampah yang sedang dibakar meletup sebelum terdengar bunyi bising di hadapan rumah dan melihat bahagian muka anak saudara berlumuran darah,” kata Rodiah Zainon, 43.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang semalam, Nur Syahida Bakar, 12, cedera di muka dan beberapa bahagian badan selepas terkena peluru penabur sesat ketika sedang makan di dapur rumahnya.

Wanita itu berkata, ketika kejadian dia sedang berbual bersama keluarganya di bahagian belakang rumah sebelum terdengar satu bunyi letupan yang kuat.

“Pada mulanya ingat ada bahan sampah yang meletup kerana kami sedang bakar sampah sebelum terdengar bunyi bising dari hadapan rumah mangsa.

“Saya terus ke hadapan rumah sebelum melihat keadaan mangsa yang berlumuran darah di muka dan beberapa bahagian badan yang lain akibat terkena peluru,” katanya.

Katanya, dalam keadaan kelam kabut suaminya, Mohd Rahmat Othman, 40, terus menghantar mangsa bersama ayahnya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Rodiah berkata, kawasan berhampiran rumah memang menjadi tumpuan orang untuk menembak dan menangkap burung ayam-ayam.

“Selalu mereka datang untuk menembak dan menangkap burung ayam-ayam pada pukul 4 atau 5 petang. Tetapi belum pernah ada lagi kejadian seperti ini dan saya harap tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku lagi,” katanya.

Mohd Rahmat berkata, tembakan itu dilepaskan dari kawasan bendang di bahagian belakang pintu rumah mangsa.

“Jarak tempat lelaki itu lepaskan tembakan dengan pintu belakang rumah mangsa sangat dekat kira-kira 20 meter sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast