Datuk Seri Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Apabila IPIC-1MDB membuat penyelesaian luar mahkamah arbitrari (timbang tara) kes yang melibatkan dua pihak, pembangkang kecewa dan mula buat tuduhan tidak berasas, kata Ketua Pengarah JASA, Datuk Puad Zarkashi.

Fitnah terbaharu pembangkang yang mendakwa jumlah hutang RM 25.18 bilion (IPIC RM5.28 bilion, bon RM15.4 bilion, faedah bon RM4.5 bilion) perlu dibayar oleh 1MDB dan kerajaan Malaysia dan mendakwa ada penyelesaian luar arbitrari membuktikan 1MDB telah tersalah bayar kepada entiti yang tiada kaitan dengan IPIC.

“Sebenarnya, jaminan IPIC ke atas bon 1MDB cukup jelas kerana IPIC perlu membayar faedah bon tersebut apabila 1MDB berkeras tidak mahu membayar faedah bon tersebut pada tahun 2016.

“Persetujuan penyelesaian pertikaikan 1MDB-IPIC telah dicapai dan ia akan membantu menyelesaikan sebanyak AS$2.5 bilion hutang dan faedah hutang 1MDB tanpa menggunakan dana tambahan daripada kerajaan,” kata Puad dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

Caranya, menurutnya, dengan menebus aset kewangan/Unit Dana Brazen Sky dan GIL 1MDB yang dijamin oleh IPIC bernilai AS$2.5 bilion serta menggunakannya untuk mengembalikan AS$1.2 bilion (yang disebut sebagai RM5.28 bilion dalam fitnah pembangkang) yang dibayar oleh IPIC kepada 1MDB pada tahun 2015 untuk menyeimbangkan penyata aset-liabiliti dan bayaran faedah bon 1MDB yang terpaksa dibuat oleh IPIC apabila 1MDB enggan membayarnya pada tahun 2016.

Kedua, membayar faedah bon 1MDB bermula tahun ini sehingga tahun 2022 yang berjumlah AS$1.3 bilion (yang disebut sebagai RM4.5 bilion dalam fitnah pembangkang).

“IPIC akan melupuskira tuntutan sebanyak AS$481 juta bayaran penamatan ppsyen saham yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada IPIC akibat pertikaian ini.

“Komitmen untuk membayar faedah dan nilai pokok bon AS$3.5 sememangnya akan dipikul oleh 1MDB kerana ia adalah pihak yang berhutang dan IPIC hanya merupakan penjamin kepada hutang tersebut,” katanya lagi.

Bagaimanapun, menurut beliau,  tidak seperti dakwaan pembangkang, 1MDB tidak akan membayar sekali lagi jumlah AS$3.5 bilion kepada IPIC atau membayar nilai pokok bon AS$3.5 bilion.

“IPIC telah mengakui berlaku “pembayaran kepada entiti lain” dan IPIC dan 1MDB bersetuju untuk berunding atas “keyakinan yang baik” sehingga bulan Disember 2020 bagi mencari “penyelesaian bersama” untuk membayar nilai pokok bon AS$3.5 bilion yang akan matang pada tahun 2022,” ujarnya lagi.

Menurut Puad, jika tiada penyelesaian dicapai di antara IPIC dan 1MDB, 1MDB masih mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas IPIC berkaitan pembayaran sebanyak AS$3.5 bilion kepada Aabar BVI sebelum tarikh matang bon tersebut pada tahun 2022.

Jaminan IPIC ke atas faedah dan nilai pokok bon masih terpakai sehingga tahun 2022 dan IPIC akan terpaksa membayar faedah dan nilai pokok bon ini jika 1MDB gagal atau enggan membayarnya.

“Pembangkang tidak mahu menerima hakikat bahawa IPIC dan 1MDB sudah menemui jalan penyelesaian bagi pertikaian berkaitan dana berkaitan 1MDB kerana ia meruntuhkan teori dan dakwaan mereka selama ini termasuk wang 1MDB  dicuri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Puad, hakikatnya, penyelesaian pertikaian IPIC-1MDB merupakan satu kejayaan kerana ia dapat mengurangkan lagi hutang 1MDB seperti yang dirancang dalam Pelan Rasionalisasi 1MDB.

“Membuktikan Unit Dana 1MDB mempunyai nilai dan boleh digunakan untuk mengurangkan hutang 1MDB,. IPIC menerima hakikat bahawa terdapat transaksi dari 1MDB kepada syarikat itu dan terdapat jaminan ke atas aset dan hutang 1MDB.

“Penyelesaian luar kes arbitrari ini telah melemahkan kes saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dan dakwaan bahawa wang 1MDB telah dicuri,” ujar Puad.- MalaysiaGazette

 

1MDB dan IPIC setuju penyelesaian timbang tara

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast