ALOR SETAR – Selepas penemuan makam Sultan Kedah ke-14, Sultan Muhyiddin Mansur Shah bulan lepas, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menemui pula satu lagi makam berusia 330 tahun, dipercayai makam Sultan Kedah ke-16, Sultan Ataullah Muhammad Syah II di Bukit Pinang, dekat sini.
Sembilan makam lain bersama makam itu ditemui ahli PSMCK, Zamri Abd Wahab, pada 23 Mac lepas dan ia terletak betul-betul di tepi sungai di Kampung Bukit Pinang dekat sini.
Kesemua makam tersebut dalam satu barisan, seolah-olah dipayungi oleh pokok buluh yang merimbun di kawasan berkenaan, menurut pengamatan wartawan Bernama yang berkesempatan ke lokasi penemuan.
Ketua Biro Penerbitan dan Pemasaran yang juga Pengarang Kehormat PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, kesemua ukiran batu nisan berkenaan menunjukkan berasal dari Acheh, Indonesia dan kebiasaannya hanya digunakan untuk golongan bangsawan dan kerabat diraja.
“Malah melihat kepada reka bentuk nisan ini, ia sangat menyerupai batu nisan yang kita temui pada makam Sultan Kedah ke-14 Sultan Muhyiddin Mansur Syah baru-baru ini di Kampung Chegar, Tunjang,” katanya.
Katanya dalam catatan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan Muhammad Arshad pada 1928 ada menceritakan mengenai tiga Sultan Kedah yang bersemayam di Bukit Pinang iaitu Sultan Ataullah (1687-1698), Sultan Abdullah Muadzam Shah (1698-1706) dan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I (1706-1709).
Bagaimanapun hanya Sultan Abdullah dan Sultan Ahmad Tajuddin sahaja dimakamkan di Makam Diraja Langgar, manakala Sultan Ataullah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Pinang namun makam itu tidak ditemui sehingga hari ini.
“Justeru, kami berpandangan bahawa makam yang ditemui ini berkemungkinan besar makam Sultan Ataullah serta kerabat diraja,” katanya kepada Bernama.
Zamri pula berkata, turut ditemui tidak sampai 100 meter dari makam berkenaan ialah satu unjuran tanah tinggi kira-kira 2.43 meter yang dipercayai sebahagian daripada kota pemerintahan.
“Biasanya tanah yang ditinggikan ini berfungsi sebagai benteng pertahanan daripada serangan musuh,” katanya.
Zamri, yang sebelum ini menemui makam Sultan Muhyiddin Mansur Shah, berkata, penemuan kali ini agak berbeza kerana masih belum ditemui apa-apa tulisan pada batu nisan berkenaan.
“Pada makam Sultan Kedah ke-14 itu ada tulisan khat pada batu nisan yang menunjukkan nama sultan, namun pada batu nisan yang ini, kita masih belum jumpai sebarang tulisan jawi atau pun khat dan kami masih melakukan kajian,” katanya.
— BERNAMA