BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi lelaki dipercayai berusia kira-kira seminggu ditinggalkan di hadapan rumah seorang wanita warga emas di Mengkuang Semarak, Kubang Semang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bayi itu yang dibalut dengan kain batik ditemui Halijah Ariffin, 76, ketika membuka pintu rumahnya selepas terdengar suara tangisan pada pukul 7.45 pagi ini.
Beliau berkata bayi yang tinggalkan tanpa sebarang pengenalan diri itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan kesihatan dan akan dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut.
Bayi berkenaan yang dibalut dengan kain batik ditemui seorang wanita berusia 76 tahun ketika membuka pintu rumahnya selepas terdengar suara tangisan.
“Kita menganggarkan bayi itu berusia kira-kira seminggu berdasarkan keadaan tali pusatnya yang sudah kering.
“Bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi membolehkan polis mendapat laporan perubatan sebelum dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette