LOS ANGELES – Bekas bintang Brazil, Kaka mucul pemain yang mendapat bayaran tertinggi di Major League Soccer (MLS), Amerika Syarikat untuk tiga tahun berturut-turut.

Kaka dari kelab Orlando mendahului senarai dengan pendapatan berjumlah AS$7.168 juta (RM31.222 juta) setahun.

Butiran gaji pokok dan pendapatan itu dikeluarkan oleh Kesatuan Pemain-Pemain MLS.

Pemain 35 tahun yang pernah dipilih sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA 2007 itu menyertai MLS pada tahun 2014 selepas kembali bersama AC Milan.

Sepuluh pemain dengan gaji tertinggi dalam MLS dimonopoli oleh pemain asing dengan Sebastian Giovinco dari Itali yang mewakili Toronto di tangga kedua dengan pendapatan berjumlah AS$7.116 (RM30.990 juta).

Gandingan pemain New York City, Andrea Pirlo (RM25.761 juta) dan David Villa (RM24.432 juta) di tangga keempat dan kelima.

Bekas bintang Jerman dan Bayern Munich, Bastian Schweinsteiger yang baru menyertai Chicago Fire di tangga ketujuh dengan pendapatan sejumlah RM23.514 juta. – MalaysiaGazette