Jamal Md Yunos membawa wartawan melawat Paya Indah Wetlands di Dengkil, Selangor.

DENGKIL – NGO Gerakan Baju Merah mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang didakwa menggadaikan kawasan tadahan hujan Paya Indah Wetlands kepada Gamuda Bhd. semata-mata demi memperoleh dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebanyak RM3 bilion.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, untuk tujuan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu meluluskan projek pembangunan banda baharu di kawasan itu yang bernilai RM30 bilion.

“Saya dimaklumkan 10 peratus daripada nilai itu (projek) adalah untuk disumbangkan kepada kerajaan Pakatan iaitu sebanyak RM3 bilion untuk menghadapi PRU14 akan datang di Selangor.

“Saya bertanya, saya tak menuduh, sebab saya dimaklumkan, RM3 bilion daripada kelulusan itu untuk diberikan kepada parti yang memerintah di Selangor untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita selepas membawa sekumpulan petugas media membuat lawatan mengejut di Paya Indah Wetlands, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri itu yang memberi kelulusan secara terburu-buru tanpa mengambil kira pencemaran alam sekitar.

“Kawasan ini dipelihara sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika zaman Dr Khir Toyo. Pelbagai permohonan dibuat untuk memajukan kawasan ini, tetapi kerajaan negeri tidak meluluskannya, termasuk ketika zaman Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengekalkan sebagai kawasan tadahan hujan.

“Tapi malangnya setelah syarikat Gamuda membeli tanah ini daripada syarikat lain berharga RM800 juta, namun dua minggu selepas itu, Azmin meluluskan permohonan tersebut untuk dijadikan sebagai bandar baru,” dedahnya.

Jamal turut mendakwa, tindakan Azmin dilihat tidak mengendahkan laporan Jabatan Alam Sekitar yang memberi amaran bahawa bencana banjir bakal melanda sekitar kawasan Dengkil.

“Ini adalah khazanah yang perlu diwariskan untuk generasi akan datang dan rakyat Selangor, bukan semua kawasan boleh dimajukan. Tanpa memikirkan pencemaran alam sekitar, walaupun berkali-kali alam sekitar (Jabatan Alam Sekitar) menolak permohonan untuk memajukan kawasan ini.

“Tergamaknya kerajaan negeri Selangor dengan rakusnya menghabiskan hasil daripada peninggalan untuk kita wariskan kepada generasi akan datang demi kepentingan politik mereka,” katanya. – MalaysiaGazette