Ramzi Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman disebut-sebut dilantik Setiausaha Politik Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dabong pernah memegang jawatan itu pada 2001 ketika Tun Abdul Ahmad Badawi sebagai Menteri Dalam Negeri.

Jika benar desas desus itu, pemilihan Ramzi, 59, dianggap tepat kerana beliau bukan sahaja mempunyai pengalaman luas malah rekod peribadinya dalam politik terutama di Kelantan juga cemerlang.

Anak kelahiran Tumpat ini mendapat kepercayaan pucuk pimpinan UMNO untuk diletakkan bertanding sebagai Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004 di kerusi Parlimen Kuala Krai.

Bagaimanapun, beliau tewas kepada calon Pas dan sejak itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada UMNO Bahagian Kuala Krai.

Namun, pada PRU 2009, beliau diletakkan di kerusi DUN Dabong dan menang sehingga kini. – MalaysiaGazette