Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail (tiga kiri) bersama yang lain bergambar dengan berlatar belakang Plaza Tol Plus Sg. Besi selepas sidang media sempena perlaksanaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya di semua plaza Tol PLUS. foto SAFWAN MANSOR, 26 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Mulai hari ini, semua plaza tol lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menggunakan sistem kutipan secara elektronik.

Bagi pengguna lebuh raya itu yang biasa menggunakan lorong tunai boleh membuat bayaran secara elektronik sama ada dengan kad PLUSMiles, Touch’n Go atau Smart Tag.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, pelaksanaan itu turut melibatkan plaza tol Juru, Bukit Mertajam hingga ke Skudai, Johor.

Katanya, PLUS telah memulakan sistem kutipan secara elektronik sejak tahun 2008 secara berperingkat sebelum dilaksanakan sepenuhnya berkuatkuasa hari ini.

“Pengguna lebuh raya yang melalui plaza tol PLUS perlu memastikan memiliki kad PLUSMiles, Touch’n Go atau Smart Tag yang boleh dibeli di semua pusat khidmat pelanggan PLUS.

“Kita melaksanakan sistem ini kerana ianya cepat dan dapat mengelakkan daripada kesesakan jalan raya yang teruk, yang mana mampu mengendalikan antara 600 hingga transaksi sejam,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan pelaksanaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Sungai Besi (arah Selatan) di sini hari ini.

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail pada sidang media sempena perlaksanaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya di semua plaza Tol PLUS di Plaza Tol Sg Besi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 APRIL 2017
Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail pada sidang media sempena perlaksanaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya di semua plaza Tol PLUS di Plaza Tol Sg Besi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 APRIL 2017

Menurut Azman, PLUS mempunyai 94 plaza tol termasuk di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebhraya Utara Selatan (PLUS).

Beliau berkata, sehingga kini dianggarkan lima hingga lapan peratus pengguna lebuh raya tidak memiliki kadPLUSMiles, Touch’n Go atau Smart Tag, tetapi menjangkakan ia akan dapat diatasi.

“Kita telah memberi penerangan kepada pengguna mengenai kebaikan menggunakan sistem elektronik, iaitu selain menjimatkan masa, kita juga memberi rebat sebanyak lima peratus bagi yang menggunakan kad PLUSMile dan membuat tambah nilai RM100.

“Bagaimanapun, mereka perlu mendaftar dengan PLUSMile dan setiap satu nama boleh daftar sebanyak empat kad,” katanya yang berpuas hati sambutan orang ramai dengan sistem elektronik ini. – MalaysiaGazette