Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

AMPANG – Tan Sri Noh Omar mengakui Barisan Nasional (BN) sebagai underdog di Selangor bagaimanapun tiada yang mustahil dalam politik.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, sekiranya semua pihak bergandingan bahu tidak mustahil dapat merampas semula negeri tersebut daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang kini sudah berpecah.

Noh berkata, politik sama seperti sukan, jika semua pihak bekerjasama dan memberi komitmen dengan menjalankan tanggungjawab kepada rakyat tidak mustahil BN dapat menang semula di Selangor.

“Sukan dan politik ini lebih kurang, dalam sukan ada istilah underdog, ada pasukan yang kita ramal tidak menang tiba-tiba boleh menang.

Nothing is impossible dalam sukan, kalau dalam sukan pun ada underdog, dalam politik pun tidak mustahil,” kata Noh semasa merasmikan program Nadi Sihat Semarak Bangkit BersamaSukan SEA ke-29 yang berlangsung disini hari ini.

Noh kemudiaan mengimbas kembali pengalaman yang pernah dilalui BN di Selangor apabila tidak menjangka terlepas Selangor kepada pembangkang pada tahun 2008 lalu walaupun sebelum itu dalam Pilihan Raya Umum 2004 mereka memperoleh kejayaan yang cukup cemerlang dan menggesa supaya ia dijadikan pengajaran.

“Kita dah kena sekali, tahun 2004, BN menang cukup cemerlang di Selangor, Parlimen kita menang seratus peratus, bagi ADUN daripada 56 kita menang 54, tiba-tiba 2008 habis kuasa kita sebab itu tidak ada benda yang mustahil.

“Sukan pun sama, politik pun sama dengan syarat kita kena bangkit mulai hari ini untuk mencapai kejayaan,” katanya lagi.

Terdahulu dalam majlis sama, Noh mengalu-alukan program dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Nadi Sihat dan UMNO Bahagian Ampang dalam menyemarakkan semangat rakyat Malaysia untuk memberi sokongan kepada atlit negara yang akan bertanding pada Sukan SEA nanti.

“Saya memuji Nadi Sihat dan UMNO Ampang yang gerakan ini dan ia memang sesuai dengan semangat untuk kita capai kejayaan dalam Sukan SEA nanti,” katanya.

Pengerusi Nadi Sihat, Datuk Ismail Kijo pula berkata, langkah yang diambil dengan mengadakan jelajah itu bertujuan untuk mempromosikan Sukan SEA dan keduannya untuk menyemarakkan semangat kebangkitan para atlit negara supaya kita dapat mengulangi kembali kejayaan pada tahun 2011 dimana Malaysia menjadi penganjur paling berjaya dan pada masa sama menjadi juara keseluruhan pada edisi Sukan SEA tahun itu.

“Penganjuran jelajah ini adalah sebagai usaha menyemai semangat bersukan dalam kalangan masyarakat khususnya menjelang Sukan SEA nanti dimana kita jadi tuan rumahnya,” kata Ismail.

Program jelajah itu terdiri daripada tiga segmen utama, melibatkan konvoi berbasikal, mengedarkan sejuta risalah mengensi Sukan SEA dan kumpulan mengelola program jelajah ini di setiap tempat persinggahan.

Jelajah ini akan bermula di Ampang dan berakhir Kuantan selepas selesai menjelajah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast